suria

SPRM pastikan semua ruang dan peluang rasuah ditutup

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru diwujudkan akan memastikan semua ruang dan peluang rasuah dalam sistem dan prosedur kerja di jabatan kerajaan mahupun swasta ditutup sepenuhnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya II SPRM, Datuk Zakaria Jaffar berkata usaha itu dilaksanakan melalui Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan yang telah dipertingkatkan lagi peranannya.

"Walaupun bahagian itu sudah lama ditubuhkan tetapi selaras dengan penubuhan SPRM ia akan diperkuatkan lagi bagi menyekat apa jua ruang dan peluang rasuah melalui pemeriksaan sistem dan prosedur kerja," katanya selepas majlis penyerahan kunci pejabat baru bahagian itu di Presint 3 di sini hari ini.

Bahagian itu akan mula beroperasi di pejabat baru di bangunan 3-C-4, Presint 3 di sini mulai minggu depan bersama-sama dengan dua lagi bahagian iaitu Bahagian Keutuhan Pengurusan dan Bahagian Kecemerlangan Profesionalisme.

Mengenai jawatan di SPRM, Zakaria berkata sehingga kini sejumlah 17,000 permohonan diterima untuk mengisi kekosongan jawatan di peringkat ijazah dan diploma dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,800 sudah dipanggil untuk ditemuduga. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain