suria

Najib: Imej negatif Umno punca BN kalah di Kuala Terengganu

PUTRAJAYA: Imej negatif Umno dan sikap sesetengah pemimpinnya yang kurang mesra di mata rakyat merupakan antara punca kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, parti itu perlu mengubah budaya dan imejnya agar disenangi oleh rakyat.

"Pemimpin Umno di semua peringkat Umno mesti menunjukkan imej positif dan mesra rakyat," kata beliau kepada pemberita semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian bagi Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Semalam Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno memerlukan faktor "wow" untuk memikat semula hati rakyat berikutan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil itu.

Najib berkata rakyat menilai Umno berdasarkan hubungan mereka dengan pemimpin Umno di semua peringkat.

Pada pilihan raya itu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Mohd, Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain