suria

Jabatan Perikanan tahan bot nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU:Jabatan Perikanan Terengganu menahan sebuah bot bersama tujuh nelayan Vietnam termasuk seorang tekong yang sedang menangkap ikan dalam kawasan perairan negara secara haram, kirakira 68 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Munir Mohd Nawi berkata kapal nelayan itu ditahan kira-kira pukul 8.55 pagi oleh bot peronda Jabatan Perikanan bersama 16 anak kapal yang diketuai Pegawai Memerintah Mohammed Darmawee yang ketika itu sedang melakukan rondaan di kawasan itu.

"Ketika ditahan bot nelayan Vietnam yang mempunyai awakawak berumur antara 14 dan 45 tahun itu baru selesai memukat sotong di kawasan berkenaan dan hasil pemeriksaan, kami berjaya menemui 600 kilogram hasil tangkapan sotong dan ikan yang dianggarkan bernilai RM6,000," katanya dalam satu persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebanyakan hasil tangkapan kapal nelayan seberat 20 tan itu sudah dipindahkan ke sebuah kapal induk lain yang sedia menunggu di sempadan untuk memberi bekalan minyak, air dan makanan.

Katanya kapal nelayan itu kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel di Kemaman.

Munir berkata kes itu akan dihadapkan ke mahkamah dan semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit yang sah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) akta yang sama.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, tekong itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta manakala awak-awak RM100,000, atau boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan.

Menurutnya empat nelayan bawah umur pula akan diserahkan kepada Pejabat Imigresen untuk urusan penghantaran ke negara asal mereka.

Sementara itu Munir berkata pasukan peronda perikanan yang menjalankan rondaan Ops Pari selama empat hari bermula Sabtu lepas berjaya merampas dan menyita 25 bidang pukat pari yang dipercayai digunakan untuk menangkap ikan pari di sekitar perairan negeri, terutama di perairan Paka dan Kertih.

Katanya pukat pari yang dikenali juga sebagai pukat malas dirampas kerana ia diketegori sebagai peralatan menangkap ikan haram yang dilarang di bawah Peraturanperaturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

"Pukat pari yang mempunyai saiz mata pukat melebihi 25.4 cm itu boleh menyebabkan kematian penyu jika terperangkap di dalamnya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain