suria

Dua bekas pengarah dituduh tipu bank RM36 juta

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah urusan dan pengarah syarikat Polymate Holding Berhad, yang pernah disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi 135 lagi pertuduhan menipu tujuh buah bank melibatkan kira-kira RM36 juta di antara tahun 2003 dan 2005.

Datuk Ng Kim Weng, 56, dan Lim Geok Lan, 50, mengaku tidak bersalah terhadap 52 pertuduhan pertama memalsukan dokumen untuk menipu tujuh bank bagi permohonan "banker's acceptance" melibatkan RM14.34 juta.

Ng dan Lim didakwa telah menipu pegawai dan kakitangan bank berkenaan dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa segala dokumen invois dan arahan penghantaran bagi permohonan tuntutan kemudahan "banker's acceptance" adalah benar dan tulen sedangkan mengetahui ia adalah palsu.

Ini menyebabkan kakitangan bank berkenaan memberikan pinjaman kepada syarikat ABI Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Polymate Holding Berhad.

Mereka didakwa menipu Bank BumiputraCommerce (BCB), United Oversea Bank (UOB), HSBC, Hong Leong Bank, Ambank, Citibank and Maybank. Ng juga menghadapai satu lagi pertuduhan iaitu menipu BCB RM312,000 bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, Lim pula bagi tempoh yang yang sama didakwa melakukan 83 kesalahan menipu bankbank berkenaan melibatkan RM21.3 juta.

Pada Jumaat lepas, Ng dan Lim turut mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan serupa.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM1.5 juta bagi setiap tertuduh memandangkan jumlah kerugian yang tinggi dialami oleh institusi kewangan berkenaan.

Hakim S. M. Komathy Suppiah menetapkan jaminan sebanyak RM400,000 kepada Ng dan RM350,000 untuk Lim, dan keduadua tertuduh diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan dengan kediaman masing-masing sebulan sekali.

Komathy menetapkan perbicaraan kes selama lima hari bermula 3 Mei 2010.

Ng yang diwakili peguam Harpal Singh dijamin oleh isterinya manakala Lim yang diwakili peguam K. K Wong dijamin oleh anak saudaranya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain