suria

Bekas pembantu Anwar muat blog dengan isu serius

PETALING JAYA: Bekas pembantu khas kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh majikannya, kini memuatkan bahan-bahan yang lebih serius dalam blognya - jauh berbeza berbanding peringkat awal tahun lalu.

Dalam tulisan-tulisan baru sejak tiga minggu yang lalu, Mohd. Saiful menulis sendiri dan adakalanya memuatkan tulisan pihak lain tentang perkembangan dunia termasuk konflik di Israel-Palestin.

Malah antara tulisannya itu turut menyentuh Anwar dan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Bahan terbaru yang dimuatkannya antara lain bertajuk "Jewish MP makes Israeli troops Nazi link", "Hubungan Anwar-US-Israel: PKR Cuba Menegakkan Benang Yang Basah", "Anwar dan Israel: Apabila Tali Barut Terjerut", "Pengganas Zionist Terus Menyerang, Rakyat Palestin Terus Menderita, Dunia Tidak Mampu Berbuat Apa...." dan "Tun Dr Mahathir Di Rancangan Blog TV1 Malam Ini!!"

Mohd. Saiful kali terakhir memuatkan tulisan tentang dirinya pada 28 Disember sempena sambutan Maal Hijrah.

Dua tulisan terdahulu juga hanya menyentuh tentang keadaannya dan penantian menghadapi perbicaraan kes diliwat.

Malah, dalam blognya juga disertakan detik masa menandakan hari semakan keputusan permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi akan mendengar selama dua hari bulan depan bagi permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pendengaran bagi permohonan pendakwaan itu pada 5 dan 6 Februari ini.

Anwar, 62, kini Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat Mohd. Saiful , pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Anwar dibenarkan bebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.

Artikel Sebelum

Artikel Lain