suria

Mahkamah putus permohonan Raja Petra 13 Feb

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Feb untuk memutuskan sama ada merujuk isu permohonan pemindahan kes blogger Raja Petra Raja Kamaruddin ke Mahkamah Persekutuan berdasarkan persoalan perlembagaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam Manjeet Singh Dillon mewakili Raja Petra, dan Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis.

Pada 25 Nov, 2008, Raja Petra memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi memohon perintah merujukkan isu pemindahan kes ke Mahkamah Persekutuan atas persoalan perlembagaan atau merujuk semula kes itu ke Mahkamah Majistret.

Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Aug, 2008, membenarkan permohonan pendakwa merujuk kes itu ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia melibatkan kepentingan awam.

Raja Petra, 58, menerusi peguamnya, Manjeet membuat bantahan awal dan memohon perintah Mahkamah Sesyen agar kes itu dikembalikan ke Mahkmah Majistret atas alasan perintah Mahkamah Majistret memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen adalah melanggar seksyen 177 Kanun Acara Jenayah (CPC).

Bagaimanpun, pada 28 Nov, Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat memutuskan yang beliau menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada merujukkan semula kes itu ke Mahkamah Majistret.

Raja Petra, editor portal MalaysiaToday, dituduh di Mahkamah Majistret pada 17 Julai memfitnah isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Lt.Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isteri Lt. Kolonel Norhayati Hassan dalam akuan berkanun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi 18 Jun.

Di peringkat permulaan, Manjeet berhujah bahawa Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (COJA) boleh merujuk persoalan mengenai Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah (perintah pemindahan) ke Mahkamah Persekutuan oleh kerana persoalan itu belum dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Manjeet juga berhujah bahawa perintah Majistret memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan telah mendedahkan Raja Petra kepada potensi hukuman lebih berat.

"Saya tidak mencabar kuasa Peguam Negara untuk memilih mana-mana mahkamah untuk mengambil proseding terhadap seseorang, tetapi dalam kes ini perayu dikaitkan dengan kesalahan yang seharusnya dibicarakan di Mahkamah Majistret. Jika demikian, Peguam Negara hendaklah hadir di mahkamah untuk menjelaskan kesalahan dilakukan oleh perayu (Raja Petra)," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Anselm berhujah, di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa memilih mana-mana mahkamah untuk mengambil proseding terhadap seseorang, oleh itu perintah majistret memindahkan kes itu ke Mahkkamah Sesyen adalah betul. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain