suria

Kerajaan sedang rangka pakej rangsangan ekonomi kedua

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk mendapat pandangan dan input yang akan dimasukkan ke dalam pakej rangsangan ekonomi kedua.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pakej itu akan mempunyai pendekatan yang berbeza berbanding pakej pertama yang telah diperkenalkan tahun lalu.

"Kita dalam proses untuk mengkaji keperluan untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada stimulus pakej yang kedua. Kita akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan dan juga input dalam menyediakan pakej kedua ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dokumen perjanjian bagi penstrukturan semula perkhidmatan air Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan pakej kedua ini.

Najib juga berkata, Kementerian Kewangan telah menubuhkan satu unit khas dikenali Unit Pengurusan Projek (PMU) bagi memastikan projek di bawah pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan secara efektif dan dalam tempoh yang telah dirancangkan.

Beliau berkata, unit berkenaan juga akan mengkaji beberapa aspek tentang keperluan birokrasi bagi membolehkan kementerian dan agensi mempercepatkan perlaksanaan pakej tersebut.

Mengenai perkembangan pakej ransangan ekonomi pertama, Najib berkata, agihan peruntukan telah diserahkan kepada kementerian berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya pakej pertama dapat dibelanjakan sepenuhnya tahun ini, ia dijangka menambah pertumbuhan ekonomi negara pada satu peratus.

Apabila ditanya mengenai pandangan beberapa penganalisa pasaran yang mendakwa Malaysia dijangka mengalami kemelesetan ekonomi pada separuh pertama tahun ini, Najib berkata: "Terdapat pelbagai pandangan dari para penganalisis. Sesetengahnya menyatakan berlaku kemelesetan, sesetengahnya berkata tidak berlaku kemelesetan. Kita sedang memantau keadaan dengan teliti."

"Sebab itu kita menyediakan pakej rangsangan kedua untuk memastikan ekonomi kita benar-benar tidak terjerumus ke dalam kemelesetan atau kemelesetan teknikal." BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain