suria

Wanita mengandung dipercayai terlibat pemalsuan cukai jalan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita mengandung yang percayai terlibat dalam kes pemalsuan cukai jalan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Damai Perdana, Cheras dekat sini, Jumaat lepas. Ketua Polis Daerah Kajang ACP Shakaruddin Che Mood berkata hasil maklumat orang awam, wanita berumur 31 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya pada pukul 5 petang.

"Semasa kejadian, wanita itu baru tiba di rumah dengan memandu sebuah kereta Perdana V6 bersama dua orang anaknya sebelum bertindak memecut laju kereta tersebut apabila ternampak sepasukan anggota polis di hadapan rumahnya.

"Bagaimanapun polis berjaya menghalang wanita berkenaan serta anak perempuan dan anak lelakinya yang masing-masing berumur 6 dan 12 tahun daripada melarikan diri," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek, polis menjumpai sebuah komputer dan sebuah alat pencetak yang dipercayai digunakan untuk mencetak cukai jalan palsu. "Polis turut menjumpai dua helai cukai jalan palsu yang telah siap untuk diserahkan kepada pelanggan," katanya.

Shakaruddin berkata wanita itu akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil.

Polis bagaimanapun masih menjejaki suami wanita berkenaan yang disyaki menjadi dalang dalam kes pemalsuan cukai jalan tersebut.

"Suami wanita terbabit yang berumur lingkungan 40-an dikatakan menghilangkan diri dan pernah di buang negeri (PCO) kerana terlibat dalam kes curi kereta di sekitar Lembah Klang, dua tahun lepas.

Dalam serbuan di rumah wanita itu, polis turut merampas dua buah kereta Perdana V6, sebuah kereta Toyota Harrier dan sebuah kereta BMW yang dipercayai kereta curi, katanya.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan empat lelaki di sini awal pagi tadi dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Kajang.

Beliau berkata kumpulan lelaki itu ditahan ketika polis sedang membuat rondaan di Taman Harmoni, Kajang pada pukul 2 pagi.

"Sebuah kereta peronda polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu ternampak empat orang lelaki yang berada di dalam sebuah kereta Mitsubishi Storm dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut polis menjumpai alat-alat yang digunakan untuk pecah rumah seperti sebatang spanar dan kuku kambing," katanya.

Beliau berkata keempat-empat suspek terbabit berumur lingkungan 23 hingga 37 tahun dan menetap di Sri Kembangan.

"Dua daripada empat yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu menyamar dan terlibat dalam kes samun, manakala dua rakan mereka ditahan untuk membantu menyelesaikan kes pecah rumah di sekitar daerah ini," katanya.

Shakaruddin berkata polis turut merampas kereta Mitsubishi berkenaan kerana kereta tersebut dilaporkan dicuri di sekitar Kajang.

"Siasatan polis mendapati kereta berkenaan juga menggunakan nombor pendaftaran palsu," kata Shakaruddin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain