suria

Sumbangan RM1 juta untuk bantu rakyat Palestin

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyumbangkan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin akibat diserang dengan kejamnya oleh tentera rejim Israel sejak tiga minggu lepas, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Beliau berkata dana bantuan itu disalurkan melalui Asnaf Fisabilillah dan akan disampaikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Yayasan Amal Selangor sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat Palestin yang terus menderita di Semenanjung Gaza.

"Sumbangan ini diharap dapat membantu sedikit sebanyak beban yang mereka tanggung walaupun tidak seberapa setelah lebih 20 hari berdepan dengan kekejaman tentera Israel," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

LZS turut menyediakan tabung untuk rakyat Palestin di semua 22 cawangan di Selangor selama sebulan bermula hari ini bertujuan memudahkan or ang ramai khususnya pembayar zakat bagi menghulurkan sumbangan.

Beliau berkata sumbangan juga boleh dibuat menerusi portal LZS di www.ezakat.com.my.

Sementara itu, Mohd Adzib berkata LZS mencatatkan kutipan zakat tertinggi di Malaysia sepanjang tahun lepas dengan catatan RM244.4 juta iaitu melebihi sasaran awal RM200 juta.

Beliau berkata kutipan itu juga mencatatkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding kutipan RM202.1 juta pada 2007.

Katanya, zakat pendapatan mencatatkan jumlah kutipan tertinggi iaitu RM130.7 juta selain zakat perniagaan (RM46.1 juta), zakat harta (RM24.3 juta) dan zakat wang simpanan (RM22.1 juta).

Turut menyumbang kepada kutipan LZS termasuklah zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat saham, zakat tanaman, zakat emas, ternakan, perak dan qadha zakat yang keseluruhannya berjumlah RM8.9 juta.

Mohd Adzib berkata LZS menetapkan sasaran untuk mengutip RM235 juta zakat pada tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain