suria

Salah nombor giliran, Presiden pro-Mahasiswa UM akui kesilapan

PETALING JAYA: Presiden pro-Mahasiswa UM, Norazali Zainuddin mengakui kesilapan berkempen menggunakan nombor calon bakal membawa padah kepada calon umum mereka, Shah Rizul Ayuni Zulkiply.

Menurutnya perkara itu disebabkan nombor calon pada kertas pengundian dalam pemilihan hari ini berbeza dengan nombor yang dimaklumkan kepada para pengundi.

"Saya akui kesilapan saya kerana terlepas pandang dengan perkara ini.

"Perkara ini berpunca apabila dipamerkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon, kami mengira nombor undian calon berdasarkan senarai urutan itu.

"Bagaimanapun setelah berbincang dengan penasihat undang-undang, sememangnya kami tiada hak untuk menentukan nombor calon," katanya kepada mStar Online.

Perkara ini mula disedari oleh penyokong-penyokong pro-Mahasiswa semasa proses pengundian yang bermula pukul 9 pagi tadi apabila nombor calon Shah Rizul Ayuni 'dianjak' dari bilangan ke-17 menjadi nombor 18.

Norazali berkata sepanjang proses berkempen, mereka menggunakan pendekatan menyebarkan nombor undi calon bagi memudahkan para pengundi membuat pilihan.

"Sejak dari awal kami sebarkan maklumt supaya mengundi calon-calon kami berdasarkan nombor calon supaya orang senang nak ingat.

"Malah kami juga menyebarkan SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada orang ramai hanya dengan menyatakan nombor calon tanpa disertakan nama," katanya.

Tambah beliau, melalui SMS yang dikirimkan, pihak pro-Mahasiswa menyatakan supaya pengundi mengundi bagi calon bernombor 15, 16 dan 17.

Bagaimanapun pada kertas pengundian hari ini, senarai itu sebenarnya berganjak satu tangga ke hadapan menjadikan kedudukan calon-calon pro-Mahasiswa berada di bilangan 16, 17 dan 18.

"Jelas sekali Shah Rizul Ayuni menghadapi masalah kerana kemungkinan besar penyokong kami tidak mengundi pada nombor 18 (nombor sebenar) kerana menyangkakan ia adalah nombor calon pihak lawan.

Shah Rizul Ayuni adalah calon kontroversi apabila membuat laporan polis yang mendakwa ditawarkan dengan pelbagai ganjaran termasuk sogokan wang tunai RM100 jika bertanding di atas tiket Penggerak Mahasiswa.

Jelas Norazali lagi, kesilapan mereka itu juga akan menguntungkan pihak lawan.

"Sudah pasti ramai penyokong kami yang mengundi pada nombor 15 kerana menyangkakan itu adalah nombor calon pro-Mahasiswa namun hakikatnya ia adalah nombor calon Penggerak Mahasiswa," katanya dengan nada kesal.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris ketika dihubungi berkata pihak urusetia tidak bertanggungjawab di atas kesilapan kumpulan pro-Mahasiswa itu walaupun ada yang mendakwa ia telah disengajakan.

"Mereka yang buat sendiri nombor undi calon itu, kita tak pernah beri apa-apa nombor.

"Jadi bagaimana mereka nak kata pihak urusetia pilihan raya sengaja nak tukar kedudukan nombor calon...isu ini tidak timbul," katanya.

Pada pilihan raya kampus yang diadakan pada hari ini, UM mempertandingkan 41 kerusi iaitu sembilan bagi kerusi umum dan 32 bagi kerusi fakulti.

Menerusi pemilihan penggal lalu, kumpulan pro-mahasiswa berjaya memenangi 11 kerusi.

Proses pengundian akan ditutup pada pukul 4.30 petang manakala proses pengiraan undi akan diadakan selepas itu.

Keputusan pilihan raya itu dijangka akan diperolehi menjelang tengah malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain