suria

PTPTN kekalkan jumlah pinjaman walaupun krisis ekonomi dunia

KOTA KINABALU: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini memberi jaminan bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan mengurangkan amaun pinjaman tahun ini, walaupun dijangka berdepan dengan krisis ekonomi dunia.

Katanya tahun lepas, perbadanan itu mengeluarkan pinjaman sebanyak RM2.6 bilion dan mereka mensasarkan untuk sekurangkurangnya mengekalkan jumlah tersebut bagi 200,000 peminjam pada tahun ini.

"Saya telah nyatakan terdapat tempat sebanyak 260,000 untuk kemasukan tahun ini dalam institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti dan sebagainya untuk peringkat diploma, sijil, dan juga ijazah pertama ...itu tidak termasuk biasiswa-biasiswa.

"Kami berpendapat amaun RM2.6 bilion mencukupi bagi menampung pelajarpelajar yang inginkan pembiayaan selepas mendapat tempat," katanya. kepada pemberita selepas melancarkan "Info Center" PTPTN negeri Sabah, di sini. Mohamed Khaled berkata bermula dengan 11,956 peminjam pada 1997, jumlah mereka yang menerima bantuan daripada PTPTN kini mencecah 1.2 juta peminjam melibatkan dana berjumlah RM26 bilion.

Beliau berkata bagi Sabah pula, sehingga November 2008, PTPTN telahpun meluluskan sebanyak 78,086 pinjaman kepada pelajar IPT yang berasal dari Sabah melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kajian sedang dibuat untuk meningkatkan lagi cara pembayaran balik dan salah satu cadangan adalah melalui potongan gaji.

"(Terlebih dahulu) kita kenal pasti jika ini adalah cara terbaik, lepas itu bawa ke kabinet, dan kalau setuju akan dilaksanakan.

"(Tapi) ini adalah (salah satu) saranan, kita sedang melihat cara-cara negara lain mengatasi isu ini, kerana ia satu isu yang dihadapi oleh semua negara di dunia," tambah beliau.

Katanya buat masa ini jumlah hutang keseluruhan yang perlu dikutip adalah RM1.9 bilion, namun ini bukan untuk pembayaran sekaligus tetapi berperingkat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain