suria

Pekerja hotel menyamar putera sultan dipenjara 14 bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja hotel dihukum penjara 14 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah dia mengaku bersalah menyamar sebagai putera Sultan Kelantan pada hujung tahun lalu.

Nik Mohd Rahimi Nik Mustafa, 29, mengaku melakukan perbuatan itu di Global Work, Tingkat 2, Lot 3.14, Wisma Central, di sini, pada 16 hingga 19 Dis 2008.

Majistret Haffiza Sauni memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 21 Dis lepas.

Mengikut fakta kes, Nik Mohd Rahimi memperdayakan seorang eksekutif dengan menyamar sebagai putera Sultan Kelantan untuk tujuan membuat 11 set perjanjian dengan artis tempatan dan cadangan bagi mengadakan majlis makan malam sempena ulang tahun keputeraan puteri Sultan Kelantan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan dan boleh dikenakan denda.

Nik Mohd Rahimi diwakili peguam S. Srikumar manakala pendakwaan dijalankan oleh Cif Insp R. Rukumar.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain