suria

Palestin harap Obama tukar dasar luar AS

KUALA LUMPUR:Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Aboughosh berkata beliau berharap presiden baru Amerika Syarikat (As) Barack Obama yang bercakap mengenai harapan dan perubahan akan mengubah dasar luar AS berkaitan Palestin.

Beliau berkata dasar luar AS sedia ada memihak kepada Israel dan tidak adil kepada rakyat Palestin, dan meminta pentadbiran AS mencari jalan penyelesaian untuk Israel.

"Beliau (Obama) berkata beliau adalah seorang presiden yang membawa harapan dan perubahan. Kami rakyat Palestin sentiasa menaruh harapan dan kami berharap beliau akan mengubah dasar luar AS. Kami berharap beliau akan membantu menghentikan kitaran pembunuhan beramai-ramai," kata Aboughosh kepada pemberita selepas temubual oleh stesen radio Traxx FM mengenai perkembangan semasa di Gaza akibat pencerobohan Israel.

"Kami berharap yang beliau (Obama) akan membantu memberikan keadilan kepada rakyat Palestin, membantu kami mendapatkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara kami dan memberikan kami hak untuk kembali.

"Kini, terdapat lima juta rakyat Palestin di Palestin dan lima juta di luar Palestin yang tidak dapat kembali ke tanah air," katanya.

Dalam temu bual dengan Traxx FM, Aboughosh menyangkal dakwaan wujud jurang antara rakyat Palestin Islam dan Kristian di Gaza.

"Tiada perbezaan seumpama itu. Anda tidak dapat membezakan antara satu sama lain. Sejak zaman berzaman, iaitu dari zaman (khalifah) Umar alKhattab lagi, kami sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bersatu.

"Satu-satunya perbezaan ialah puak yang ada yang mewujudkan jurang antara kami.

Kami mesti bersatu untuk menang dalam menentang Israel. Dan Israel tidak peduli atau membezakan antara puak dan agama, mereka mengebom kami semua," katanya.

Mengulas dakwaan Mesir tidak menghulurkan bantuan dalam perjuangan Palestin, Aboughosh mempertahankan negara itu dengan menegaskan Mesir bertanggungjawab membantu sehingga membawa kepada gencatan senjata itu.

"Sesetengah kerajaan, ekoran politik antipropaganda, menunding jari kepada Mesir demi kepentingan mereka sendiri. Tanpa Mesir tidak akan ada gencatan senjata. Tanpa Mesir, 220 doktor dari negara itu tidak akan berada di Palestin. Tanpa Mesir, kami tidak akan mendapat sebarang bekalan perubatan," katanya.

Sementara itu, dilaporkan pasukan tentera Israel telah mula meninggalkan Semenanjung Gaza ekoran perjanjian sementara dicapai dengan Hamas selepas tiga minggu berperang.

Sejak Israel melancarkan serangan di Gaza pada 27 Dis tahun lepas, lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh dan kirakira 5,100 cedera. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain