suria

Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati penoreh getah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang penoreh getah bagi kesalahan membunuh seorang pekedai runcit di Jempol, Negeri Sembilan, kira-kira 10 tahun lepas.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria dan dua hakim Mahkamah Pesekutuan Datuk S.Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin selepas menolak rayuan terakhir wanita itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman mati yang dihadapinya.

R. Amathevelli didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 Nov 2002 bagi kesalahan membunuh A.Soosaiammah di Kampung Gatco, Air Hitam, Jempol, pada 17 Mei, 1998. Dia memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan itu.

Ibu kepada tiga orang anak berumur 52 itu mempunyai pilihan terakhir iaitu memohon pengampunan diraja.

Kesnya diberi liputan meluas oleh media berikutan tertangguh lima tahun sementara menunggu hakim yang mengendalikan kes itu memberikan alasan penghakiman.

Dalam penghakiman setebal 21 muka surat, Arifin berkata kes itu jelas menunjukkan pengabaian serius oleh hakim yang mengendalikan kes itu untuk memberikan alasan penghakiman dan perkara itu tidak dapat diterima.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mahu memperkatakan isu itu dengan panjang lebar kerana tindakan sewajarnya telah diambil oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi berhubung perkara itu, katanya.

Katanya hakim perbicaraan mungkin, sewajarnya diselar tetapi beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kelewatan dalam penyampaian penghakiman bukan alasan yang kukuh untuk membatalkan sabitan.

Amathevelli memohon perbicaraan semula, mendakwa kelewatan terlalu lama dalam memberikan alasan penghakiman merupakan satu ketidakadilan yang nyata.

Walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa walaupun maklumat diberikan oleh Amathevelli kepada polis, yang membawa kepada penemuan barangan kemas Soosaiammah tidak diterima, didapati Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul apabila merumuskan keterangan keadaan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan Amathevelli bersalah.

Amathevelli telah memberikan maklumat yang membawa kepada penemuan rantai dan loket emas Soosaiammah dalam almari di rumah Amathevelli.

Almari itu dikunci dan dibuka oleh Amathevelli menggunakan kunci pada rantai leher dipakai wanita itu.

Arifin berkata keterangan keadaan itu kukuh untuk mensabitkan Amathevelli bagi kesalahan membunuh, dengan itu mengaitkannya dengan pembunuhan itu kerana kecederaan sama turut ditemui pada Soosaiammah, serta bukti Soosaiammah memakai rantai emas itu pada masa kematiannya.

Beliau juga bersetuju dengan rumusan Mahkamah Rayuan bahawa pembelaan Amathevelli, apabila dibandingkan dengan semua keterangan dikemukakan, sukar untuk dipercayai.

Katanya wanita itu tidak memberikan penjelasan bagaimana barangan kemas itu berada dalam tangannya.

Amathevelli memberikan keterangan secara bersumpah menafikan membunuh Soosaiammah tetapi mendakwa dia melihat seorang lelaki menjerut leher mangsa dengan tali pada hari kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain