suria

Kekalahan BN bukan faktor calon semata-mata - Khairi

KUANTAN: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata kekalahan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu semalam perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan bukan faktor calon semata-mata.

Beliau berkata semua pihak dalam Umno dan BN perlu berhenti menuding jari mencari kesalahan pihak lain dan sebaliknya perlu sama-sama memikul tanggungjawab itu seperti perumpamaan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

"Dalam Umno dan Barisan Nasional, berat mesti dipikul bersama dan ringan mesti dijinjing bersama juga, dalam hal ini banyak faktor menyumbang kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Kalau dikatakan ini (faktor calon) adalah faktor yang sebabkan kekalahan BN, saya rasa itu (rumusan) terlalu mudah...kalau memang itulah faktornya, senanglah kerja kita," katanya di sini hari ini.

Khairy berkata beliau melihat perkara itu sebagai satu perkara yang rumit dan memerlukan kajian menyeluruh.

"Kita kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita daripada iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan, kita boleh gunakan pengalaman ini untuk kebaikan parti.

"Kita kena terima semua pandangan dan selepas ini kita kena baiki diri untuk hadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi, sementara calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan.

Terdahulu, Khairy menziarahi dan menyampaikan sumbangan Pemuda Umno kepada Normala Zahari iaitu balu Allahyarham Zahari Baharom, ketua Pemuda Umno cawangan Balok Pine yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada Oktober tahun lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain