suria

Sesi tergempar UNGA diharap hasilkan keputusan berupa tindakan

PUTRAJAYA: Malaysia berharap sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang sedang bersidang akan menghasilkan keputusan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mendapatkan keputusan mungkin mudah tetapi bagi PBB untuk melaksanakannya dalam bentuk fizikal adalah persoalan lain.

"Oleh yang demikian, kita ingin melihat perkara ini di bawa ke perenggan yang sebenarnya dan wujud sistem fizikal untuk melaksanakannya selepas ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Seranta kementerian itu mengenai usaha bantuan kemanusiaan antarabangsa dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia dan Mercy Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata sesi tergempar itu masih lagi bersidang dan sedang menunggu keputusan yang akan dicapai dengan penuh cabaran.

Sesi Tergempar Khas itu diadakan atas permintaan 118 negara anggota PBB yang membentuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) termasuk Malaysia walaupun cuba dihalang oleh Israel atas alasan melanggar prosedur.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata usaha Malaysia yang mahukan PBB mengadakan Sesi Tergempar Khas membincangkan isu keganasan berterusan Israel ke atas penduduk Palestin berhasil apabila badan dunia itu memutuskan memanggil sidang itu di New York, semalam.

Beliau berkata matlamat yang dikehendaki PBB di Gaza ialah gencatan senjata mesti dipatuhi oleh semua pihak di wilayah itu, tentera Israel mesti berundur dari bumi Gaza, kepungan yang dikenakan Israel terhadap Gaza mesti dihapuskan dan sekiranya semua ini masih tidak dilakukan oleh Israel, maka Majlis Keselamatan PBB mesti meluluskan penubuhan Pasukan Pengaman PBB untuk menguatkuasakan matlamat PBB itu.

Isnin lalu, Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar dan mengambil ketetapan antara lain menggesa UNGA mengadakan Sesi Tergempar Khas di bawah Resolusi 377A(V) Tahun 1950.

Sehubungan itu, Rais berkata Malaysia ingin melahirkan harapan agar bakal Presiden Amerika Syarikat (As) Barack Obama patuh dengan pendirian filosofinya berhubung perubahan yang beliau telah umumkan mengenai Palestin.

"Malaysia, khasnya ingin melihat beliau menterjemahkan pendiriannya, inilah dasar mengenai Gaza. Mungkin, terlalu awal untuk kita memperkatakan, tetapi inilah harapan kita," kata beliau.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain