suria

Polis geledah 'markas' pro-Mahasiswa UM

PETALING JAYA: Sekumpulan kira-kira 30 anggota polis menggeledah sebuah rumah aktivis pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) malam tadi yang dipercayai ada hubung kait dengan laporan polis yang dibuat oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti itu, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris berhubung tuduhan rasuah.

Presiden pro-Mahasiswa UM, Norazali Zainuddin berkata pihaknya percaya kehadiran anggota polis berkenaan adalah bagi mendapatkan 'bukti' kes rasuah berkenaan.

"Mereka (polis) tak maklumkan tujuan mereka, tapi kami percaya mereka cuba nak cari bukti kerana mungkin beranggapan pihak pro-Mahasiswa adalah dalang kepada dakwaan rasuah itu.

"Mungkin mereka ingat kami terlibat dengan pemalsuan dokumen yang ada kaitan dengan kes tersebut," katanya kepada mStar Online.

Rabu lalu Dr. Azarae memfailkan laporan polis bagi menafikan beliau terlibat mengeluarkan surat 'tawaran' kepada seorang calon pro-Mahasiswa, Shah Rizul Ayuni Zulkiply untuk bertanding bagi pihak Penggerak Mahasiswa.

Surat tersebut juga mengandungi wang tunai RM100.

Kira-kira pukul 9.15 malam semalam, kumpulan anggota polis berkenaan tiba dengan menaiki dua buah van, sebuah pajero dan empat kereta biasa 'mengepung' rumah berkenaan yang terletak di Seksyen 12 Petaling Jaya.

Rumah aktivis berkenaan dijadikan markas operasi kumpulan pro-Mahasiswa bagi persiapan menghadapi pilihan raya kampus UM yang akan diadakan pada 19 Januari depan.

Menurut Norazali yang juga Presiden pro-Mahasiswa Nasional, ketika kejadian, kira-kira 40 aktivis mereka sedang menjalankan kerja-kerja penyediaan poster dan kain rentang.

"Ketika itu mereka semua sedang sibuk mengecat kain rentang dan menyiapkan poster," katanya.

Bagaimanapun menurut beliau dalam operasi polis berkenaan, mereka tidak menjumpai sebarang bukti yang menunjukkan aktiviti pemalsuan dokumen dijalankan di rumah berkenaan.

"Bagaimanpun dua buah komputer riba milik telah dirampas dengan alasan bagi membantu siasatan.

"Jadi kami juga telah membuat laporan polis kerana tindakan polis merampas komputer riba itu telah menghalang pemiliknya menyiapkan tugasan mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain