suria

PM minta rakyat tidak prejudis barangan buatan Malaysia

SUBANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta rakyat supaya tidak prejudis terhadap barangan buatan Malaysia.

Beliau berkata, rakyat perlu mengutamakan barangan buatan tempatan dan sikap prejudis perlu dikikis bagi memastikan barangan tempatan mendapat tempat dalam negara.

"Banyak barangan buatan Malaysia yang diterima baik di luar negara tetapi di negara ini, masih ada yang tidak berminat dengan barangan tempatan sebaliknya memilih barangan luar negara.

"Berilah peluang. Bila dah cuba, baru tahu...maka selepas itu, kita akan lebih sayang dan akan menjadi pengguna yang setia," katanya ketika melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia di pasar raya borong Mydin di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Pelancaran kempen itu dilakukan serentak di 1 Borneo, Kota Kinabalu dan di Boulevard, Kuching.

Abdullah berkata, pengilang dan pengusaha di negara ini mengeluarkan pelbagai jenis barangan seperti makanan, solekan, perhiasan, ubat-ubatan, kraftangan dan pakaian.

Beliau berkata, keperluan untuk barangan Malaysia mendapat permintaan yang lebih besar di negara ini penting lebih-lebih lagi dalam keadaan kelembapan ekonomi dunia yang menyebabkan pasaran untuk barangan Malaysia di luar negara makin berkurangan.

"Kita tidak mahu menghadapi masalah barang-barang kita tidak lagi dapat dipasarkan sehebat dulu. Jadi biarlah barang-barang buatan kita dibeli oleh rakyat tempatan," katanya.

Abdullah berkata, apabila barangan Malaysia menjadi pilihan rakyat, ia akan memberi peluang kepada pengusaha tempatan menghasilkan lebih banyak barangan berkualiti tinggi melalui peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ini semua akan memberi kesan yang amat baik dan kekuatan untuk kita bersaing," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan akan terus mengambil tindakan memastikan ekonomi negara terus berada di landasan yang kukuh dan terus berkembang dan sekiranya perlu akan menyediakan pakej rangsangan ekonomi yang kedua.

Sementara itu, Shahrir berkata, dalam tempoh masa negara menghadapi kelembapan ekonomi, pengusaha dalam negara perlu tampil dengan produk khusus bagi menarik minat rakyat dan sekiranya ekonomi pulih pada tahun hadapan, perusahaan mereka akan lebih maju.

Beliau turut menafikan bahawa pelancaran Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia ini adalah program ke arah memboikot barangan luar terutama daripada Amerika memandangkan program ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi pada Oktober lalu.

"Tidak ada sebarangan agenda tersembunyi dalam kempen ini melainkan kita mahu rakyat membeli barangan buatan Malaysia. Ia tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Gaza ketika ini," katanya.

Beliau berkata, tindakan beberapa syarikat dan pasar raya menurunkan harga barang menunjukkan syarikat tempatan mampu bertahan dalam keadaan kelembapan ekonomi pada masa ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain