suria

Pesakit maut ambulan langgar treler

JASIN: Seorang pesakit maut manakala tiga lagi cedera apabila ambulans yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 181.1 Lebuhraya UtaraSelatan berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jasin ASP Jasmani Othman berkata Tan Hee Moi @ Tan Yi Noi, 62, mati di tempat kejadian manakala tiga yang cedera ialah pemandu ambulans, seorang kakitangan hospital dan anak Tan.

Ketika kejadian pukul 2.30 petang itu, ambulans berkenaan dari salah sebuah hospital swasta di Selayang dalam perjalanan untuk menghantar Tan yang menghidap penyakit angin ahmar ke rumahnya di Taman Maluri, Ulu Tiram, Johor, katanya kepada pemberita di sini.

Jasmani berkata apabila tiba di tempat kejadian, pemandu ambulans itu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian belakang treler berkenaan yang sedang bergerak membawa muatan jagung.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu, ambulans itu melekat pada bahagian belakang treler berkenaan dan diseret sejauh 100 meter sebelum berhenti.

Pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Katanya tiga mangsa yang cedera itu dimasukkan ke Hospital Jasin untuk rawatan manakala mayat Tan dibedah siasat di hospital sama.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain