suria

Pegawai pengurus tarik diri kendali pilihan raya Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim yang menjadi kontroversi ekoran dakwaan PAS bahawa beliau meraih undi untuk calon Barisan Nasional (BN), menarik diri daripada mengendalikan pilihan raya kecil tersebut berkuat-kuasa semalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pukul 8.20 malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa pihaknya telah menerima surat penarikan diri Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya mulai semalam.

Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat berhubung keputusan Mat Razali itu dan setelah memperhalusi pelbagai sudut permohonan penarikan diri itu, SPR bersetuju untuk menerima keputusan tersebut.

Justeru kata beliau, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 3 (C) dan 5 (1) (a), Akta Pilihan Raya 1958, SPR melantik Wan Mustafa Wan Hassan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru.

Wan Mustafa merupakan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan juga salah seorang daripada enam penolong pegawai pengurus pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Bagaimanapun kenyataan SPR itu tidak menyatakan sebab beliau menarik diri.

Dalam reaksi segera, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong berkata, pihaknya hanya mahukan seorang pengurus pilihan raya yang bebas dan kelihatan bebas.

Ketika ditanya sama ada pihaknya menyambut baik perkembangan itu, beliau berkata, PAS akan menilai situasi tersebut.

PAS yang kelmarin mendakwa Mat Razali meraih undi untuk calon BN semalam menggesa SPR menangguhkan hari pengundian Sabtu ini jika perlu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu pilihan raya kecil kerusi Parlimen ini ditangguhkan sementara suruhanjaya memutuskan pengganti Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Jika wujud implikasi undang-undang dalam pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru, SPR wajar menangguhkan pilihan raya kecil ini," kata Wan Abd. Muttalib Embong di Markas PAS Kuala Terengganu pagi semalam.

Kelmarin, Mat Razali yang merupakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ketika dihubungi mStar Online menafikan yang beliau telah berkempen meraih undi dengan meminta kakitangan MBKT supaya mengundi BN Sabtu ini.

Menurut Wan Abd. Muttalib, selain pertemuan pagi semalam di bangunan MBKT, Mat Razali juga dikatakan 'berkempen' untuk BN dalam tiga majlis berasingan secara berturut-turut iaitu Ahad, Isnin dan Selasa lalu.

Jelas Mat Razali semalam, selaku Datuk Bandar MBKT, beliau hanya menerangkan dasar-dasar kerajaan pada majlis taklimat yang diadakan pagi kelmarin.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi dan daripada jumlah itu, kira-kira tujuh peratus merupakan kakitangan awam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain