suria

Lapan ditahan edar dadah di JB

JOHOR BAHRU:Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah selepas menahan tujuh lelaki serta seorang wanita dalam empat serbuan berasingan di bandaraya ini, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta dalam serbuan itu dan menemui sebuah makmal mini memproses dan menghasilkan dadah sintetik di salah sebuah rumah yang diserbu.

"Dua daripada lelaki itu adalah rakyat Singapura manakala wanita itu rakyat Thailand. Kesemua mereka yang berumur 27 hingga 58 tahun itu kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat 95 anggota pangkat rendah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas empat mesin membuat pil ecstasy, 17 blok pencetak pil ecstasy, pil ecstasy (12,636 biji), pil Eramin 5 (13,015 biji), ketamin (6.1 kg), serbuk pil ecstasy (lapan kilogram), syabu (102gram), ganja (500gram) dan dua kilogram serbuk putih yang dipercayai dadah.

Katanya polis juga menemui pelbagai wang tunai termasuk RM30,612, Singapura $3,897, Brunei $10, Hong Kong $20, Rupiah 347,000 dan Korea Yuan 1,423 selain empat kereta, enam komputer riba dan pelbagai barangan kemas dalam serbuan itu. Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan sindiket penipuan penukaran wang asing dengan wang Ringgit Malaysia oleh warga Nigeria selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita, Selasa dan Rabu lepas.

Beliau berkata berdasarkan satu laporan polis oleh orang awam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, 24 Disember lepas, polis berjaya menahan dua lelaki di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa lepas sebelum menahan seorang lagi lelaki dan wanita di sebuah rumah di Ampang, Selangor, keesokannya.

"Urusniaga sindiket itu dilakukan melalui laman web dan polis menemui sebuah peti besi yang berisi seribu keping wang kertas setiap satu bernilai AS$100 dipercayai palsu bersamasama dengan beberapa dokumen yang dipercayai digunakan dalam penipuan tersebut," katanya.

Keempat-empat mereka, katanya direman selama tujuh hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Mengenai pembunuhan ahli perniagaan Datuk M.Gunasegaran, Mohd Mokhtar berkata polis berjaya menyelesaikan kes itu dengan pendakwaan tiga lelaki mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Segamat, hari ini.

Beliau berkata polis dalam menyiasat kes itu telah menahan tujuh suspek berusia 30 hingga 54 tahun sebelum tiga lelaki daripadanya dihadapkan di mahkamah pagi ini manakala empat yang lain dibebaskan.

Gunasegaran, 49, Pengarah Urusan syarikat peminjam wang berlesen, ditembak ketika sedang berjoging di sebuah lorong belakang berhampiran Jalan Genuang, Segamat, pada pukul 6.15 pagi 18 Disember lepas.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain