suria

Empat ditahan bersama RM480,600

KUANTAN: Polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM480,600 dalam satu operasi berhampiran sebuah kedai kopi di Jalan Air Putih di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata polis terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran apabila suspek yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu cuba melarikan diri.

Beliau berkata operasi dijalankan oleh satu pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang diketuai oleh ASP S. Xavier pada kirakira pukul 12.03 malam, dan antara yang dirampas ialah dadah dari jenis syabu dan heroin.

"Ketika memeriksa suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan sebuah kereta Honda Civic, polis menemui satu paket dadah dipercayai jenis syabu seberat 55 gram dalam poket seluarnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya berikutan penemuan itu, kereta tersebut diperiksa lebih teliti dan polis kemudiannya menemui 60 paket dadah dipercayai jenis heroin seberat 120 gram di bahagian brek tangan kereta.

Toon Khuan berkata dalam keadaan kelam kabut, seorang suspek bertindak pantas, memecut kenderaan itu dan cuba melanggar anggota polis, menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran.

Beliau berkata selepas semua suspek menyerah diri, mereka kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah sewa di sekitar kawasan itu, dan selepas diperiksa polis menemui 20 gram syabu di rumah berkenaan.

"Hasil siasatan polis mendapati empat suspek yang berasal dari Pahang dan Kelantan itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada empat suspek berkenaan positif dadah jenis syabu," katanya.

Sementara itu di TEMERLOH, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt Mohamed Zulmazi Che Daud berkata polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 55.3 gram yang dijumpai di bawah kerusi pemandu sebuah kereta di kawasan rehat Lanchang di Km89.9 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Rabu lepas.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas sepasukan anggota Jabatan Norkotik Ibu pejabat Daerah Temerloh yang sedang membuat rondaan di LPT ternampak sebuah kereta yang mencurigakan di kawasan tersebut pada pukul 10 malam.

Katanya selepas diperiksa, polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang warga tempatan yang berada dalam kereta itu selepas menemui dadah berkenaan yang dianggar bernilai RM33,180 disorok di bawah tempat duduk pemandu.

Menurutnya ketigatiga suspek yang berumur antara 24 hingga 38 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabit dengan kesalahan boleh membawa hukuman gantung.

Dalam perkembangan lain Mohamed Zulmazi berkata di daerah Temerloh sepanjang tahun lalu sebanyak 23 kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 17 kes mengikut seksyen yang sama pada tahun 2007.

Beliau berkata secara keseluruhannya kes berkaitan dadah tahun lalu meningkat 43 peratus iaitu 912 kes berbanding 639 kes pada tahun 2007. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain