suria

Chan hilang sabar dengan laporan mengenai banjir

KUCHING: Tan Sri Dr George Chan yang selalunya tenang dalam menghadapi apa juga keadaan bagaimanapun hilang sabar pada sidang akhbar hari ini dan mengancam akan mengambil tindakan terhadap sebuah akhbar berbahasa Cina bagi salah lapor.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata beliau terkejut apabila mendapat tahu yang akhbar itu memetik beliau sebagai berkata bahawa para peniaga di India Street di sini wajar mengalami kerugian besar akibat banjir baru- baru ini kerana mereka tidak menghiraukan amaran supaya mengambil langkah berjagajaga.

"Bila pula saya kata begitu? Anda wakil (media) semua ada di situ! Pernah ke saya kata seperti itu?" kata Dr Chan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Alam negeri, yang jelas kesal dengan perkara itu.

Menggambarkan laporan itu sebagai "sensasi dan tidak berasas", beliau berkata: "Adakah saya ini tidak berhati perut apabila melihat rakyat menderita dengan berkata 'padan muka'?

"Saya harap mereka akan meminta maaf dan menjelaskan perkara itu, jika tidak saya akan ambil tindakan kerana saya sudah tidak boleh bersabar lagi," katanya dengan marah.

Mengenai banjir, Dr Chan berkata keadaan sudah bertambah pulih dengan hanya kira-kira 500 mangsa masih berada di 10 pusat pemindahan banjir di Kuching, Bau, Simunjan, Sebuyau, Serian, Pantu, Dalat dan Niah.

Katanya mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan sekejapsekejap dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang tetapi tahap air pasang akan menyaksikan trend yang semakin menurun.

"Kawasan perairan Sarawak masih diletakkan di bawah katgeori amaran tahap ketiga dengan angin kencang dan laut bergelora sehingga 19 Jan," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain