suria

Pemilihan UM: Penggerak Mahasiswa, pro-Mahasiswa seri

PETALING JAYA: Setelah gelanggang pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) dibuka semalam, keputusan awal menyaksikan kemenangan satu sama bagi calon kumpulan Penggerak Mahasiswa dan pro-Mahasiswa.

Setelah proses bantahan yang berakhir kira-kira pukul 6.30 petang semalam tamat, Jawatankuasa Pemilihan UM mengumumkan calon Penggerak Mahasiswa bagi kerusi Pusat Sukan secara rasmi menang tanpa bertanding.

Turut diisytiharkan menang tanpa bertanding ialah calon pro-Mahasiswa bagi kerusi Akademi Pengajian Islam.

Dua kerusi berkenaan merupakan kubu kuat bagi kedua-dua kumpulan.

Sementara itu bagi kerusi Fakulti Sastera, pihak jawatankusa menangguhkan status layak bertanding calon pro-Mahasiswa sehingga pukul 12.00 tengah hari ini kerana masalah teknikal pihak pengurusan.

Pada pemilihan kali ini UM mempertandingkan 41 kerusi iaitu sembilan bagi kerusi umum dan 32 lagi merupakan kerusi fakulti.

Setiap fakulti mempertaruhkan dua kerusi.

Pilihan raya kampus UM akan diadakan pada 19 Januari depan.

Dalam pada itu bagi Fakulti Undang-undang yang sejak dua penggal lalu hanya diwakili calon bebas, tradisi itu dipecahkan apabila pada pemilihan kali ini meyaksikan kemunculan dua calon Penggerak Mahasiswa bersaing bagi kerusi berkenaan.

Seorang mantan anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Fakulti Undang-undang yang enggan dikenali berkata, kemunculan dua wakil Penggerak Mahasiswa berkenaan mengejutkan banyak pihak.

"Tradisinya Fakulti Undang-undang sentiasa bebas dari menyokong mana-mana pihak.

"Tapi kali ini muncul pula calon dari pihak Penggerak Mahasiswa dan yang lebih mengejutkan kedua-dua mereka adalah pelajar tahun pertama," katanya.

Ditanya sama ada dua calon berkenaan menerima 'tawaran' daripada mana-mana pihak, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

"Itu saya tak pasti, tapi setelah bertemu dengan mereka berdua, saya difahamkan penyertaan mereka bagi mewakili kumpulan Penggerak Mahasiswa atas kemahuan mereka sendiri untuk membawa perubahan kepada fakulti," katanya.

Fakulti undang-undang akan mengadakan sesi dialog terbuka hari ini bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang yang bertujuan untuk memperkenalkan calon-calon yang bertanding.

Artikel Lain