suria

Isu RO: PAS mahu SPR tangguh pilihan raya kecil jika perlu

KUALA TERENGGANU: PAS yang semalam mendakwa Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim meraih undi untuk calon Barisan Nasional (BN) hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan hari pengundian Sabtu ini jika perlu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu pilihan raya kecil kerusi Parlimen ini ditangguhkan sementara suruhanjaya memutuskan pengganti Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Jika wujud implikasi undang-undang dalam pelantikan Pegawai Pengurus Pengurus Pilihan Raya baru, SPR wajar menangguhkan pilihan raya kecil ini," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong di Marks PAS Kuala Terengganu hari ini.

Wan Abd. Muttalib berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Ibu Pejabat SPR dan Pejabat Pilihan Raya Terengganu di sini awal pagi ini.

"SPR perlu menggugurkan Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Jika perlu, tangguhkan pilihan raya," katanya.

Semalam Mat Razali ketika dihubungi mStar Online menafikan yang beliau telah berkempen meraih undi dengan meminta kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu supaya mengundi BN Sabtu ini.

Menurut Wan Abd. Muttalib, selain pertemuan pagi semalam di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mat Razali juga dikatakan 'berkempen' untuk BN dalam tiga majlis berasingan secara berturut-turut iaitu Ahad, Isnin dan Selasa lalu.

Jelas Mat Razali semalam, selaku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, beliau hanya menerangkan dasar-dasar kerajaan pada majlis taklimat yang diadakan pagi.

"Tanggungjawab sebagai Datuk Bandar, saya selalu mengadakan pertemuan dengan kakitangan saya... majlis mingguan, majlis bulanan, esok pun ada taklimat juga.

"Misalnya semalam ada majlis Hari Kualiti yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri. Dalam pertemuan hari ini, saya menjelaskan kepada mereka (kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) tentang dasar-dasar kerajaan sebagai majikan," katanya beliau.

Bagaimanapun tegas Mat Razali, beliau sama sekali tidak meminta kakitangannya "memangkah" BN.

Wan Abd. Muttalib menjelaskan, pihaknya juga akan membuat laporan polis petang ini.

"Kami telah meminta peguam-peguam kami agar menguruskan laporan polis," katanya.

Petang semalam laporan berhubung perkara itu dibuat oleh Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Ketika ditanya sama ada PAS turut membuat petisyen hari ini, Wan Abd. Muttalib berkata, pihaknya tidak berbuat demikian hari kerana masa suntuk untuk mahkamah bertindak dengan segera.

"Hari ini hari Khamis, hari terakhir kerja minggu ini dan esok cuti, dan Sabtu adalah hari pengundian... mungkin mahkamah tidak dapat dengar kes ini dengan segera," katanya.

Kata beliau, tindakan Datuk Bandar itu bertentangan dengan Seksyen 32 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi dan daripada jumlah itu, kira-kira tujuh peratus merupakan kakitangan awam.

Artikel Lain