suria

Empat mayat pendatang mangsa bot karam ditemui

SANDAKAN: Empat daripada tujuh pendatang tanpa izin yang menaiki bot yang karam akibat dipukul ombak kuat di perairan berhampiran Pulau Nunuyan di sini pada Selasa lepas, ditemui lemas dan mayat mereka terdampar di pantai Kampung Tinosa dekat sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Marin Sandakan ASP Muhammad Sallam Spawi berkata mayat tiga kanakkanak dan seorang wanita itu ditemui pada 6.30 petang oleh penduduk kampung.

Katanya polis hanya dapat membawa keluar mayat berkenaan pada pukul 12.55 malam dan kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang lain disambung hari ini oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bot berkenaan karam pada 7 malam Selasa lepas tetapi Polis Marin hanya menerima laporan mengenainya semalam.

Kumpulan pendatang itu dipercayai cuba masuk secara haram ke negara ini dari Pulau Lagan di perairan Filipina. BERNAMA

Artikel Lain