suria

DEB tidak ditentang jika semangatnya diamalkan

KUALA LUMPUR: Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan untuk menyusun semula masyarakat, tidak akan ditentang jika dilaksanakan sebagaimana yang disebut di dalam rancangan tersebut, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini.

Titah baginda, tiada orang akan menentangnya jika tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu dari diri mereka.

Hari ini, DEB dipertikaikan, dasar yang pada asasnya baik dan murni ini telah dipersalahkan dan dituntut untuk dikuburkan kerana digelincirkan di peringkat pelaksanaan, titah baginda semasa menutup Kongres Islam Ketiga Ke-I3 di sini.

DEB dicetuskan dengan niat ikhlas untuk menyusun semula masyarakat supaya berlaku perimbangan ekonomi antara kaum dan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Baginda bertitah ia merupakan formula perancangan pembangunan ekonomi yang dilahirkan secara kolektif oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Titah baginda dua arkitek utama yang melakarkan DEB, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman, tidak menyebut bahawa dasar tersebut digubal dengan tujuan mahu memperkayakan kumpulan tertentu, tidak juga bertujuan mahu menindas kumpulan tertentu.

Baginda bertitah, dasar yang dirangka dengan teliti, digubal dengan baik, bertujuan murni dan dilaksanakan secara adil akan terus mendapat sokongan untuk dikekalkan.

"Kepimpinan negara perlu memperlihatkan kebijaksanaan untuk memastikan bahawa dalam melaksanakan keutamaan, tetap tercermin kesaksamaan dan dalam melaksanakan kesaksamaan tidak meminggirkan keutamaan," titah baginda.

Baginda bertitah DEB dapat ditafsirkan sebagai manifestasi yang lahir dari himpunan tuntutan ummah bermula dari suara yang digemakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada tahun 1965.

Mengimbau perkembangan lepas, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, Allahyarham Tun Dr. Ismail di Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Islam Kedua, 37 tahun yang lepas, memberikan peringatan agar mereka yang mendapat nikmat dari hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera hendaklah mengamalkannya menurut susila dan peraturan yang memelihara maruah masyarakat Melayu dan Islam.

Kata-kata tersebut adalah kata-kata keramat, satu amanat berharga satu wasiat bernilai, amanat yang sepatutnya menjadi pantang larang; wasiat yang harus dipatuhi setiap masa wasiat yang wajib dihormati sepanjang waktu.

Wasiat itu bagaikan turut sama terkubur di Masjid Negara; hilang dari ingatan, padam dalam amalan, titah baginda.

"Bila pantang larang diabaikan, bila wasiat diketepikan, maka ternodalah kehormatan bangsa tercemarlah kesucian agama; maka bangsa dan umat ditimpa bala ditimpa petaka," jelas baginda. BERNAMA

Artikel Lain