suria

Pembelaan dua tertuduh kes Altantuya bermula esok

KUALA LUMPUR: Pembelaan diri dua anggota Unit Tindakan Khas polis yang dituduh membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok.

Peguambela Datuk Hazman Ahmad, yang mewakili tertuduh pertama, Cif Insp Azilah Hadri, memberitahu Bernama hari ini bahawa beliau telah menyediakan tujuh orang saksi untuk memberi keterangan dalam kes pembelaan itu nanti, manakala Kamarul Hisham Kamaruddin, peguam bagi tertutudh kedua, Koperal Sirul Azhar pula berkata buat masa ini tiada saksi lain akan dipanggil selain tertuduh.

Pada 10 Nov lepas, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memberi tempoh dua bulan kepada pihak pembelaan untuk membuat persediaan terperinci termasuk menghubungi dan menemu bual saksi yang akan dipanggil memberi keterangan.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di satu kawasan dalam Mukim Bukit Raja antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka, telah dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Okt 2008 tanpa dipanggil membela diri.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain