suria

Palestin mahu AS jadi broker yang adil

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) diminta menjadi broker yang adil dalam menangani konflik pencerobohan Israel di Palestin yang bermula pada 27 Disember lepas.

Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Abuqutaish berkata beliau berharap bakal Presiden AS Barack Obama membuat pembaharuan dalam dasar negara itu berhubung perkara tersebut.

"Kami tidak mahu mereka menjadi sekutu kami tetapi apa yang sebenarnya kami mahukan ialah agar AS menjadi broker yang adil," katanya pada sidang akhbar selepas menerima cek RM50,000 sumbangan Majlis Jaksa Pendamai Selangor di Kedutaan Palestin di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan bahawa Israel terus mendapat sokongan daripada sekutu kuatnya itu apabila Presiden George W. Bush menyatakan bahawa gencatan senjata hanya akan dilakukan apabila Hamas menamatkan serangan roket ke atas negara Yahudi tersebut.

Abdelaziz berkata angka kematian meningkat kepada 978 orang manakala 4,500 lagi cedera dalam serangan rejim zionis yang kini masuk hari ke18.

Katanya, antara yang terkorban dalam serangan itu ialah 13 anggota daripada pasukan perubatan, empat wartawan dan empat warga asing.

Beliau berkata, Israel bukan sekadar melanggar hakhak asasi kemanusiaan yang dinikmati rakyat Palestin apabila menyerang Gaza malah negara Yahudi itu turut menghalang masyarakat dunia menghulurkan bantuan.

Abdelaziz juga berharap mereka yang cedera dalam serangan itu dapat dikeluarkan melalui sempadan Palestin-Mesir.

Beliau yang berterima kasih atas bantuan yang diberikan berkata, Malaysia adalah contoh di mana masyarakat berbilang kaum dapat hidup dalam suasana harmoni tanpa mengira agama.

Sementara itu, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Selangor Datuk Seri Mahamad Fathil Mahmood berkata selain bantuan kewangan, pihaknya akan menghantar bantuan daripada segi peralatan perubatan seperti ambulans ke Palestin jika serangan terhadap Gaza masih berterusan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata Bush perlu diheret ke mahkamah perang antarabangsa kerana bersekongkol dengan tindakan kejam tentera Israel membunuh rakyat Palestin di Gaza.

"Bush adalah penjenayah perang yang bertanggungjawab di atas kematian ratusan nyawa orang awam termasuk kanak-kanak di Gaza akibat keganasan rejim Yahudi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pendedahan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert bahawa Bush mengikut telunjuk negara Yahudi itu untuk tidak menyokong gencatan senjata membuktikan AS tidak berhasrat menamatkan konflik yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Syed Ali juga berharap Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) akan menghormati sepuluh usul mengutuk keganasan Israel terhadap Palestin yang diluluskan Parlimen Malaysia.

Dewan Rakyat pada sidang khasnya Isnin lepas, antara lain mendesak PBB menubuhkan sertamerta Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain