suria

Lebih 1,000 penduduk Baling dan Sik berdemonstrasi

BALING: Lebih 1,000 penduduk dari pelbagai kaum di daerah Baling dan Sik hari ini menyertai demonstrasi aman bagi mendesak kerajaan mengambil langkah pro aktif sebagai reaksi terhadap kekejaman Israel di Palestin.

Pengerusi jawatankuasa penganjur demonstrasi itu Mohamad Khairul Azhar Abdullah berkata, perhimpunan itu mendesak supaya JAKIM menarik balik semua tanda logo halal kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan barangan keluaran Amerika Syarikat.

Katanya, JAKIM harus peka dengan logo halal yang dikeluarkan kepada syarikat yang berkepentingan dengan AS dan Israel sebagai satu langkah untuk tidak menggalakkan umat Islam membeli barangan keluaran mereka.

Beliau berkata, penganjur mengedarkan lebih 1,000 keping risalah mengandungi senarai barangan buatan AS yang perlu diboikot sebagai tanda bantahan.

"Rakyat dari semua kaum perlu melakukan satu tindakan dengan memboikot semua barangan buatan AS sebagai satu tekanan terhadap negara itu", kata beliau.

Mereka yang menyertai demonstrasi di Pekan Baling itu turut menaikkan sepanduk dan membakar patung presiden Amerika Syarikat George Bush dan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert.

Pada perhimpunan itu satu tabung bagi membantu penderitaan rakyat Palestin dilancarkan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain