suria

Ejaan rasmi ialah Alor Setar bukan Alor Star

ALOR SETAR: Ejaan rasmi nama bandar Alor Star diubah balik kepada ejaan asal iaitu Alor Setar mulai sekarang.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata mesyuarat Exco yang berlangsung di Wisma Darul Aman di sini hari ini meluluskan perubahan ejaan itu atas permintaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ejaan asal Alor Setar diubah kepada 'Alor Star' semasa Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar Kedah pada lewat 1990an dan ia dikekalkan sehingga Barisan Nasional (BN) Kedah kalah pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, Azizan berkata mesyuarat Exco bersetuju mengubah semula ejaan itu mengambil sempena nama pokok 'setar' dan perubahan ejaan itu tidak membabitkan kos besar bagi menukar papan tanda atau perkara yang berkaitan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah akan mengeluarkan arahan rasmi kepada semua PBT dan jabatan kerajaan untuk mengubah ejaan itu dalam urusan rasmi dalam tempoh terdekat, katanya.

Azizan berkata Jabatan Kerja Raya akan diarah menukar papan tanda dengan menggunakan ejaan itu dalam masa terdekat.

Tahun lepas, kerajaan Kedah pimpinan PAS turut menukar nama Langkawi kepada 'Langkawi Permata Kedah'. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain