suria

Parlimen: Lobi badan dunia hentikan konflik Gaza

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini menggesa supaya kerajaan mengambil langkah proaktif yang lebih berani dan kongkrit untuk melobi badan dunia bagi menghentikan serangan rejim Israel ke atas Gaza.

Berhubung cadangan penubuhan tentera pengaman dalam kalangan negara Islam, Dr. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan pelobi sendiri dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi tujuan itu.

"Ini boleh dilaksanakan sebagai tekanan kepada Amerika (sekutu Israel) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya ketika membahaskan usul Mengecam Serangan Rejim Zionis Israel ke atas Wilayah Gaza pada sidang Khas Parlimen semalam.

Usul itu dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr. Puad yang juga Ketua Penerangan Umno Johor turut mencadangkan Kementerian Luar menubuhkan kaukus Parlimen mengenai Palestin untuk membantu perjuangan rakyat negara itu melalui suara perundangan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata kerajaan perlu mempelopori usaha mempengaruhi masyarakat dunia untuk menstruktur semula Majlis Keselamatan PBB yang gagal menyelesaikan konflik di wilayah Gaza.

"Tak boleh biar lima negara kuasai negara lain... berat sebelah," katanya.

Hujah Bung Mokhtar disokong anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang menyifatkan Majlis Keselamatan PBB, OIC dan Liga Arab "tiada taring" dan hilang kuasa.

Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat (BN-Pandan) berkata PBB bukan sahaja gagal memainkan peranannya, malah memberikan peluang kezaliman terus berlaku di Palestin.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam (BN-Segamat) berkata Malaysia perlu menggunakan kekuatan dan pengaruhnya dalam kalangan negara Islam untuk membantu menamatkan serangan rejim Israel di Palestin.

"Dewan yang mulia ini perlu menghantar mesej kepada dunia bahawa kekejaman Israel tidak diterima di seluruh dunia," kata Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC.

Sementara itu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan supaya menggunakan kuasa ekonomi negara OIC dan OPEC terutamanya pengeluaran minyak untuk dijadikan bahan tawar menawar kepada masyarakat antarabangsa dan negara Barat.

"Ia bertujuan memberikan tekanan kepada Israel bagi menghentikan segala bentuk penjajahan baru dan menghentikan serangan," katanya.

Malah katanya kesepakatan agar tidak menggunakan Dollar Amerika juga berupaya memberi kesan serius kepada kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa supaya satu tindakan tegas diambil dengan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana mereka telah mencabuli undang-undang kemanusiaan sejagat.

Katanya masyarakat dunia tidak membenci golongan Yahudi tapi sebaliknya membenci terhadap kekejaman yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin.

"SIkap melampau rejim Zionis tidak boleh diterima dalam sejarah manusia," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (DAP-Bagan), yang juga Setiausaha Agung DAP pula berkata kerajaan perlu memainkan peranan proaktif dalam konflik di wilayah Gaza selain meminta Amerika Syarikat selaku kuasa besar menyelesaikan konflik itu.

Bagi Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), beliau mencadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai wakil Malaysia untuk berunding dengan negara Arab bagi menyelesaikan konflik di Palestin.

Ini kerana Dr Mahathir mempunyai pengalaman, pengaruh dan hubungan baik dengan badan-badan antarabangsa mewakili rantau itu seperti Liga Arab, katanya.

Dalam ucapannya beliau turut mencadangkan supaya satu sistem potongan gaji selama sehari dapat dilaksanakan kepada semua pekerja termasuk Perdana Menteri dan Ahli-ahli Parlimen untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

"Sumbangan melalui kaedah potongan gaji selama sehari ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan penderitaan mereka di Gaza.

"Dan kita juga harapkan supaya Kementerian Luar dapat menyelaraskan semua tabung yang diwujudkan bagi membantu rakyat Palestin bagi memastikan sumbangan rakyat negara ini benar-benar sampai dan bermanfaat," katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak), yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mencadangkan Kumpulan Tokoh-tokoh Terkemuka dihantar menemui pemimpin di Indonesia dan Brunei bagi membincangkan pelan tindakan untuk menyelesaikan konflik di Gaza.

Kumpulan itu dianggotai Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Menteri Luar.

Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) berkata apa yang penting, masyarakat antarabangsa perlu mempengaruhi bakal presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk mengubah dasar luar negara kuasa besar itu terhadap sekutunya, Israel.

"Selagi Amerika Syarikat tidak ubah, Israel tidak akan ubah dan bumi Palestin juga tidak akan berubah," kata Halimah yang juga Ketua Wanita Umno Johor.

Sidang khas itu turut dihadiri 32 wakil kedutaan asing di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain