suria

MIC ucap selamat menyambut Hari Ponggal

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin MIC dalam ucapan sempena Hari 'Ponggal', atau pesta menuai, buat kaum India di Malaysia yang disambut esok, menggesa komuniti India supaya bekerja keras dalam usaha menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran dalam menghadapi cabaran kelembapan ekonomi.

Semasa memperakui bahawa ramai kaum India kini lebih berpelajaran dengan ada yang memiliki ijazah universiti, keadaan ini pasti banyak membantu semasa negara berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa.

Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata beliau gembira dengan usaha parti itu membangunkan Universiti AIMST di Kedah dan TAFE College di Negeri Sembilan yang banyak membantu dalam mewujudkan ribuan profesional.

"Hari ini ramai kaum India yang berpelajaran boleh dilihat, dan ramai antara mereka adalah profesional. Mereka memperolehi pendapatan lebih baik, dan dapat keluar dari kitaran kemiskinan yang membelenggu komuniti itu sejak sekian lama," menurutnya dalam satu mesej sempena sambutan Hari Ponggal di sini hari ini.

Menurutnya harihari di mana kekangan kewangan menghalang pembangunan komuniti kaum India sudah berlalu, dan hari ini mereka memiliki akses lebih jelas bagi mendapatkan pendidikan dan pekerjaan.

Samy Vellu berkata MIC akan terus memberi keutamaan kepada pendidikan menerusi sayap pendidikannya, Maju Institute of Educational Development (MIED).

Menurutnya MIED sehingga ini menaja lebih 9,000 pelajar India dengan mengagih hampir RM100 juta dalam bentuk pinjaman pelajaran dan geran.

Beliau berkata MIC turut bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan bagi kaum India, terutama dalam sektor kerajaan.

Katanya adalah mudah untuk menyalahkan pihakpihak lain terhadap nasib malang seseorang, namun mereka tidak seharusnya lupa bahawa kerajaan menyediakan banyak peluang-peluang bagi kaum India untuk berjaya.

"Saya bukan nyatakan perkara ini semata-mata untuk mengambil hati kerajaan, tapi apabila sesuatu perkara yang baik dilakukan, ia perlu dihebahkan, dan apabila seseorang itu tidak merebut peluangpeluang yang disediakan kerajaan, mereka hanya boleh menyalahkan diri sendiri," katanya.

Samy Vellu berkata MIC akan memastikan bahawa kaum India mendapat layanan yang adil, dan untuk mejayakannya, parti itu memerlukan sokongan serta kerjasama dari semua pihak.

Sementara itu Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam dalam mesej Ponggal menggesa komuniti India melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang tepat.

Menteri Sumber Manusia itu berkata kementerian berkenaan memiliki institut latihan yang mencukupi bagi kemudahan belia India yang berhasrat menjalani latihan-latihan teknikal.

"Dengan munculnya laporan-laporan bahawa banyak syarikat kini mengecilkan operasi mereka, kaum India perlu berusaha menguasai sebanyak mana kemahiran yang termampu, untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang keadaan," katanya.

Beliau berkata dalam usaha melahirkan komuniti India yang bebas dan berdaya saing, kaum India perlu lebih komited, berdisiplin, fokus, dan kukuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain