suria

Malaysia hantar resolusi kekejaman Israel ke Kongres AS

BENTONG: Malaysia akan menghantar 10 resolusi yang dikeluarkan pada Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai kekejaman rejim Zionis di Gaza kepada Kongres Amerika Syarikat dan parlimen di negara-negara Eropah bagi membuktikan ketegasan Malaysia mengenai keganasan di negara Timur Tengah itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata semua resolusi itu akan dihantar ke semua dewan perundangan dan Parlimen negara berkenaan termasuk Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

"Ia (resolusi itu) juga akan dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) meminta supaya Majlis Keselamatan membuat keputusan agar diadakan mekanisme untuk menguatkuasakan resolusi yang telah dibuat sebelumnya," katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Pejabat Tanah dan Daerah Bentong di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata selain itu, resolusi berkenaan juga akan dihantar ke negara-negara yang menyertai organisasi dunia seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul mengenai kekejaman rejim Zionis di Gaza, yang dibentangkannya semalam di Dewan Rakyat.

Antara resolusi tersebut termasuklah menggesa Perhimpunan Agung PBB menubuhkan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Mengikut resolusi itu juga, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua serta menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza.

Abdullah berkata Malaysia melihat resolusi yang dibuat Majlis Keselamatan PBB pada 8 Januari lepas adalah lemah berikutan tiada mekanisme khusus untuk membentuk kuasa pelaksana.

Sehubungan itu, Abdullah berkata melihatkan tidak ada tanda-tanda serangan Israel ke atas Gaza dapat dihentikan, Malaysia akan terus mendesak supaya Perhimpunan Agung PBB khas diadakan.

"Pada asalnya, tarikh Perhimpunan Agung PBB khas itu telah ditetapkan selepas menerima permintaan daripada Malaysia dan Brazil.

"Bagaimanapun, perhimpunan itu dibatalkan apabila Majlis Keselamatan mengadakan mesyuaratnya bagi membincangkan krisis di Gaza pada tarikh sama. Oleh itu Presiden UNGA membuat keputusan untuk menangguhkan perhimpunan khas itu," kata Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata tidak terdapat rakyat negara ini yang cuba memasuki wilayah bergolak di Gaza kecuali Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Beliau berkata kehadiran Mercy Malaysia bertujuan membantu mangsa keganasan rejim Israel di Gaza.

"Kita telah membekalkan segala keperluan dan peruntukan kepada Mercy Malaysia bagi memudahkan mereka menjalankan urusan di kawasan berkenaan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain