suria

Sidang Khas Parlimen: Pakatan mulakan mesyuarat pra-majlis

PETALING JAYA: Sidang Khas Parlimen hari ini dimulakan dengan mesyuarat pra-majlis pemimpin Pakatan Rakyat yang akan membincangkan persiapan mereka sebelum menyertai sesi perbahasan yang dijadual diadakan pada sebelah petang.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat itu akan membincangkan mengenai persediaaan mereka bagi menyertai perbahasan konflik kemanusiaan di Gaza.

"Kita akan bincangkan mengenai persiapan sebelum sidang khas diadakan petang ini," katanya.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka diadakan pada pukul 11.30 pagi di bangunan Parlimen.

Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza petang ini diadakan bagi mengecam dan mengutuk serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga ini sudah mengorbankan lebih 700 nyawa.

Usul bagi membahaskan mengenai kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin telah dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 Januari lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3).

Sesi sidang Khas Parlimen hari ini akan dimulakan dengan ucapan oleh Perdana Menteri dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen akan turut membuat ucapannya dan seterusnya Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim akan membuat penggulungan di akhir persidangan.

Artikel Lain