suria

Sekutu PM Thai menang pilihan raya kecil

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand yang baru, Abhisit Vejjajiva menerima sokongan memberangsangkan apabila partinya, parti Demokrat menang kerusi Gabenor Bangkok manakala rakan gabungannya memenangi 20 daripada 29 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya kecil untuk Parlimen, semalam.

Calon Demokrat, Sukhumbhand Paribatra mendapat lebih daripada 910,000 undi untuk memenangi jawatan Gabenor, menewaskan aktor popular Yuranan Phamornmontree dari Pheu Thai Party yang memperoleh hampir 600,000 undi. Pheu Thai ditubuhkan penyokong bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra selepas parti mereka, People Power Party (PPP) dibubar oleh mahkamah pada Disember.

Pemilihan gobenor diadakan selepas Apirak Kosayodhin dari parti Demokrat yang memenangi jawatan itu untuk penggal kedua Oktober tahun lepas meletak jawatan bagi membersihkan namanya berikutan dikaitkan dengan kes rasuah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Apichart Sukhagkanan berkata, Demokrat memenangi tujuh kerusi, sekutu barunya Chart Thai Pattana 10 dan Puea Pandin tiga manakala pembangkang Pheu Thai dan Pracharaj masingmasing mendapat lima dan empat kerusi.

Dengan keputusan tidak rasmi itu, Demokrat dan rakan gabungannya menguasai 255 kerusi dalam 480 kerusi parlimen manakala pembangkang mempunyai 195 kerusi.

PPP menang pilihan raya 2007 tetapi tidak dapat memerintah negara dengan licin beikutan bantahan jalanan selama enam bulan oleh Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD), sebuah gerakan anti Thaksin yang mendakwa parti itu proksi bekas perdana menteri yang hidup dalam buangan setelah dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menyalahguna kuasa.

PAD merampas pejabat perdana menteri pada Ogos tahun lepas dan menutup dua lapangan terbang utama Bangkok pada November.

Selepas PPP dibubarkan oleh mahkamah Perlembagaan dan Perdana Menteri Somchai Wongsawat dilarang bergiat dalam politik untuk tempoh lima tahun, Abhisit berjaya mendapatkan sokongan mencukupi untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-27 Thailand Disember lepas, dan yang kelima dalam tempoh tiga tahun.

Keputusan pilihan raya itu dijangka memberikan Abhisit perangsang yang amat diperlukan dan memperkukuhkan kerajaannya. BERNAMA

Artikel Lain