suria

Sebutan semula saman fitnah bekas senator 13 April

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bekas senator, Datuk Muhammad Abdul Ghani bagi menuntut ganti rugi RM60 juta terhadap dua akhbar tempatan akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini 13 April depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam kamarnya hari ini.

Pada 7 Dis 2006, Muhammad mengemukakan saman menuntut ganti rugi RM60 juta terhadap The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Berita Harian Sdn Bhd serta wartawan Hamidah Atan dan Shamshul Azree Samshir, sebagai defendan, kerana mendakwa artikel yang disiarkan akhbar berkenaan yang mengaitkannya dengan kegiatan mengklon permit import (AP) kereta, berunsur fitnah.

Muhammad, 64, yang juga Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), turut memohon perintah injunksi melarang defendan-defendan daripada mencetak atau menyiarkan apaapa rencana atau penulisan berhubungnya atau syarikat-syarikatnya.

Beliau mendakwa artikel-artikel berunsur fitnah itu bertajuk "Senator in Cloned AP Scam" disiarkan di dalam akhbar The New Straits Times bertarikh 7 Okt 2006 dan di akhbar Berita Harian bertarikh 8 Okt 2006 bertajuk "Syarikat Milik Senator Klon AP".

Di dalam pernyataan tuntutannya, Muhammad mendakwa perkataan-perkataan fitnah di dalam artikel berkenaan di antaranya membawa maksud sebagai senator dan ahli politik, beliau adalah seorang yang tamak dan tidak bertanggungjawab serta tidak layak memegang jawatan awam.

Ganti rugi RM60 juta yang dituntut Muhammad termasuk ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan. BERNAMA

Artikel Lain