suria

Polis temui semula 4kg emas yang dicuri

PULAU PINANG: Polis berjaya menemui semula satu jongkong emas dan tiga kilogram emas yang telah dilebur bernilai lebih RM300,000 yang disamun dari sebuah kedai membuat barangan kemas di kawasan perusahaan Jelutong di sini, 29 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Azam Abdul Hamid berkata kesemua emas itu ditemui semula selepas polis menahan lima orang termasuk seorang wanita di sekitar negeri ini sejak kejadian itu hingga 6 Jan lepas.

"Selain jongkong emas seberat satu kilogram dan emas yang telah dilebur seberat tiga kilogram itu, polis turut menemui semula sebuah kereta jenis Toyota Vios, wang tunai US$1,620 (RM5,718), wang tunai RM23,000, sebuah perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah komputer," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua wang tunai itu dirampas dari sebuah rumah di Lorong Semarak Api, di Bandar Baru Ayer Itam di sini manakala emas yang telah dilebur pula dirampas dari sebuah kedai emas di Jalan Kapitan Keling.

"Kita menemui kereta terbabit di kawasan parkir kereta Hospital Pulau Pinang dan kita percaya empat jongkong emas yang masih belum ditemui telah dijual kepada pihak-pihak tertentu," katanya.

Beliau meminta sesiapa yang membeli barangbarang berkenaan supaya menyerahkannya semula kepada polis agar mereka tidak ditangkap atau dituduh memiliki hasil samun itu.

Azam berkata polis juga masih mencari seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes itu bagi melengkapkan siasatan, namun percaya kes itu berjaya diselesaikan kerana perancang utama telah ditahan.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam 29 Dis lepas, mangsa yang merupakan isteri kepada pemilik kedai itu telah diacukan pisau oleh salah seorang daripada lelaki terbabit ketika dia sedang berjalan menuju ke keretanya setelah membeli barang di sebuah pasar malam di Jelutong. Seorang lagi suspek kemudiannya memandu kereta mangsa ke kedai emas berkenaan dan setibanya di sana, mereka mengarahkan mangsa yang berusia 22 tahun itu membuka pintu kedai itu dan menyamun lapan jongkong emas bernilai kira-kira RM769,000. BERNAMA

Artikel Lain