suria

Najib: Umno bukan parti ekstrem

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Umno bukan parti ekstrem sebagaimana dilabelkan Pakatan Rakyat kerana ia sentiasa mengamalkan polisi yang sangat sederhana dan pragmatik.

"Apa yang penting ialah untuk mengadili Umno berdasarkan polisi kita, bukan berdasarkan sebarang kenyataan kerana kenyataan daripada individu tidak menggambarkan sesuatu polisi," katanya.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno mengulas pula isu politik berhubung laporan bahawa PAS menggambarkan Umno sebagai parti yang mengamalkan perkauman.

"Umno bukan parti ekstrem kerana kita sentiasa mengamalkan polisi yang sangat sederhana dan pragmatikm," kata beliau pada sidang akhbar selepas melancarkan Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan parti pembangkang itu mengeluarkan kenyataan demikian sebagai mahu mengambil kesempatan.

Katanya, Umno juga boleh berbuat demikian jika mahu, kerana PAS pernah mengeluarkan kenyataan yang ekstrem serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu.

Berhubung laporan media bahawa Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe kini berada di Malaysia, Najib berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya.

"Benarkah. Saya tidak tahu beliau berada di sini. Biar saya cari sekiranya beliau benarbenar berada di Malaysia. Mungkin ia hanya spekulasi semata-mata .. . jangan kata ia tidak baik untuk Malaysia, sehingga kita yakin beliau berada di sini," katanya.

Mengulas tentan tindakan memulau barangan, Timbalan Perdana Menteri berkata, terpulang kepada individu sama ada mahu memboikot atau tidak tiga produk utama Amerika Syarikat di negara ini seperti minuman kopi berjenama Starbucks, CocaCola dan ubat gigi Colgate seperti yang disaran oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia serta badan bukan kerajaan yang lain.

Beliau berkata, langkah itu adalah hak individu sebagai pengguna.

Najib berkata, langkah pemboikotan agak kompleks kerana ia akan membabitkan ahli perniagaan tempatan yang menjalankan perniagaan secara francais barangan Amerika Syarikat.

"Biarlah ia menjadi pilihan pengguna. Sesetengahnya mungkin merasa perlu manakala yang lain mungkin tidak, kerana ia turut melibatkan aspek perniagaan tempatan," katanya.

Najib diminta mengulas sama ada kerajaan menyokong saranan untuk memboikot barangan keluaran Amerika Syarikat, ekoran ia menyokong sekutunya Israel menyerang rakyat Palestin di Gaza tanpa menghiraukan gesaan dunia untuk menghentikannya.

Artikel Lain