suria

Mahathir: Malaysia perlu guna kapal hantar bekalan ke Gaza

SUBANG: Malaysia perlu mengatur penghantaran kapal bekalan yang mengandungi makanan, ubat-ubatan, selimut dan keperluan lain dengan negara-negara lain bagi membantu mangsa serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha penghantaran bekalan menerusi Mercy dan beberapa pertubuhan lain sangat mengkagumkan namun jumlahnya tidak mencukupi.

"Hospital-hospital mereka telah dibom dan penduduk di sana kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

"Malaysia perlu menggerakkan usaha khusus ini untuk menghantar lebih banyak bekalan menerusi kapal-kapal kerana negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan tidak akan membenarkan bekalan seumpamanya melalui wilayah mereka," kata Dr Mahathir selepas menyampaikan syarahan mengenai Keamanan Global di Kolej Taylor's di sini, Isnin.

Dr Mahathir berkata kapal-kapal tidak membawa senjata yang belayar di perairan antarbangsa tidak boleh diserang atau ditenggelamkan kerana tindakan sedemikian adalah satu jenayah.

Beliau mencadangkan agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merombak sistem kuasa veto bagi mewujudkan keadaan lebih seimbang dalam Perhimpunan Agung badan dunia itu dan Majlis Keselamatan.

"Perkara yang terbaik adalah untuk tidak mempunyai sistem kuasa veto langsung. Tetapi memandangkan kuasa-kuasa besar percaya bahawa mereka sepatutnya mempunyai hak lebih besar daripada yang lain, kita perlu memberikan mereka hak dengan mengenakan syarat.

"Jika hannya satu kuasa veto digunakan terhadap suatu resolusi oleh anggota tetap, ia sepatutnya tidak sah. Sebaliknya, hanya satu kuasa veto yang disokong oleh dua hingga tiga anggota tetap serta dua hingga tiga anggota bukan tetap barulah ia dianggap sah.

"Ini hanyalah satu idea. Saya tidak tahu sama ada cara ini akan berhasil atau tidak," katanya.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Yayasan Jenayah Perang Kuala Lumpur, kemudiannya menggelar Isreal sebuah negara pengganas berdasarkan definisi bahawa keseluruhan tentera Israel melakukan keganasan terhadap penduduk Semenanjung Gaza.

"Jika anda mengambil definisi keganasan sebagai perasan takut kerana berasa gerun terhadap apa-apa jua, sesiapa yang mencetuskan perasaan takut itu adalah pengganas. Hari ini, kita semua tahu bahawa penduduk di Gaza berasa gerun dengan idea akan dibunuh oleh tentera Israel.

"Hakikat bahawa negara ini sedang berterusan membunuh orang tiada bezanya. Begitulah juga pengganas pengebom berani mati di mana orang ramai berasa takut akan diletupkan," katanya.

Dalam syarahannya, Dr Mahathir mencadangkan dunia melumpuhkan mata wang Dollar Amerika Syarikat (USD) dengan menolak pengunaan mata wang itu dalam perdagangan bagi memastikan negara itu tidak berupaya menempatkan angkatan tentera yang kuat.

"Amerika mempunyai defisit dua angka yang tertinggi di dunia. Namun mereka masih mempunyai wang untuk dibelanjakan bagi ketenteraan mereka. Ini kerana kita meminjamkan mereka wang apabila kita membeli bon dan menggunakan mata wang negara itu.

"Jika kita berhenti menggunakan mata wang itu, nilai USD akan jatuh merudum," jelas Dr Mahathir yang hujahannya turut disokong oleh Dr Chandra Muzaffar dalam syarahan mengenai perkembangan di Gaza yang diadakan di Univesiti Islam Antarabangsa Jumaat lepas.

Dr Mahathir turut mengulangi ideanya menjadikan perang satu jenayah dan berhujah bahawa pada masa ini "semua orang melihat perang sebagai suatu yang biasa apabila dua negara tidak bersependapat dan bukannya sesuatu yang dikeji".

"Pada zaman dahulu, perhambaaan dianggap biasa. Hari ini, perhambaan adalah salah di sisi undang-undang, orang ramai akan memberontak dengan perhambaan. Bagi perkara ini berlaku, ia akan mengambil masa.

"Begitu juga dengan perang. Kita mesti menanamkan idea bahawa perang, untuk tujuan apa sekalipun, adalah salah dan kita seharusnya menjadikan perang satu jenayah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain