suria

Karpal letak syarat pada PAS dan PKR

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu sanggup bekerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya PAS dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

"Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Karpal berkata, PAS dan PKR perlu menerima hakikat bahawa hudud tidak pernah termaktub dalam perundangan negara.

"Keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai anutan di negara ini tidak boleh digugat dengan percubaan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganut Kristian tidak perlu merasa gusar sekiranya masyarakat Islam mahukan undang-undang Islam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata hukum hudud adalah untuk orang Islam sahaja sementara bukan Islam boleh memilih untuk dibicarakan di bawah undang-undang sivil.

Karpal berkata hujah tersebut tidak logik.

"Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam dan bukan Islam menghadapi tuduhan bersama. Yang Muslim memilih untuk dibicarakan menerusi hudud sementara yang bukan Islam memilih undang-undang sivil. Bagaimana mahkamah akan mengatasi dilema ini." katanya.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan satu bentuk undang-undang sahaja iaitu undang-undang sivil bagi orang Islam dan bukan Islam. BERNAMA

Artikel Lain