suria

Kakitangan kerajaan dapat pembelaan sewajarnya

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan memberikan pertimbangan yang sebaiknya terhadap permintaan kakitangan kerajaan apabila menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memenuhi sebarang keperluan itu, jika mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian seperti mana yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri sebelum ini.

"Kita juga prihatin terhadap kakitangan kerajaan. Selagi kita mampu, kita akan bantu kakitangan kerajaan.

"Percayalah, pada masa akan datang, kakitangan kerajaan akan mendapat pembelaan sebaiknya daripada kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kakitangan kerajaan Persekutuan dan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mokhtar Nong dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Bagaimanapun, Najib berkata, bagi membolehkan kerajaan dapat menunaikan permintaan itu, kakitangan kerajaan perlu terus menyokong kerajaan BN yang telah banyak membantu mereka selama ini.

"Saya berazam apabila tiba masanya, saya akan teruskan kerja baik yang dibuat Pak Lah dan Perdana Menteri sebelum ini supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya dan kebanggaan di seluruh dunia terutama kepada umat Islam.

"Kita boleh buat dengan syarat, kita memilih orang yang berkemampuan. Jalan terbaik ialah dengan memilih kerajaan BN," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika kerajaan yang dipilih itu berkemampuan untuk mentadbir terutama jika mempunyai persamaan di antara kerajaan Pusat dan negeri, ia akan memudahkan pelbagai perkara dilaksanakan di sesebuah negeri itu.

"(Misalnya) saya dan Datuk Ahmad Said sama-sama (pemimpin) BN. Saya sebagai Menteri Kewangan, jika Menteri Besar ada cadangan untuk kemajuan Terengganu, lepas ini saya tiada masalah untuk kerajaan Terengganu buat program," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, rakyat negara ini termasuk kakitangan kerajaan sepatutnya bersyukur kerana mereka dapat menikmati kehidupan yang baik berbanding rakyat negara lain seperti Palestin, Afghanistan dan Iraq.

"Setidak-tidaknya, bila kita bangun tidur, kita ada pekerjaan. Bagi rakyat negara lain, nyawa mereka ibarat telur di hujung tanduk, sama ada menemui ajal atau masih ada lagi hari esok untuk mereka. Di Malaysia, umat Islam terselamat dan boleh mendapat sesuatu jika ada impian dan banyak impian menjadi realiti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain