Jangan mudah terpedaya panggilan anak diculik - Semasa | mStar

Jangan mudah terpedaya panggilan anak diculik

MELAKA: Polis meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang menghubungi ibu bapa kononnya anak mereka diculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt. Sum Chang Keong berkata sindiket terbabit akan membuat panggilan secara rawak dengan menipu mangsa kononnya anaknya diculik dan meminta wang tebusan.

"Pada Disember lepas, seorang wanita berusia 60 tahun dari daerah Melaka Tengah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyatakan anaknya diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM20,000, setelah berlaku penawaran, mangsa yang panik terus membuat bayaran sebanyak RM2,200 melalui mesin deposit tunai, padahal anaknya itu tidak diculik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Dalam tempoh 1 Jan hingga hari ini, beliau berkata polis Melaka menerima tiga aduan mengenai penipuan menggunakan modus operandi yang sama.

Kes pertama berlaku pada 1 Jan lepas di mana seorang wanita berusia 60 tahun dari Melaka Tengah dikehendaki membayar wang tebusan sebanyak RM5,500 untuk pembebasan anak lelakinya dan mangsa yang panik terus membayar wang tebusan itu melalui mesin deposit tunai. "Selepas pembayaran dibuat, mangsa terus menghubungi anaknya dan mendapati anaknya berada dalam keadaan selamat serta tidak diculik," katanya.

Beliau berkata kes kedua berlaku pada 5 Jan lepas di mana seorang wanita berusia 40an dari daerah Melaka Tengah diminta membayar wang tebusan sebanyak RM200,000 bagi pembebasan anaknya tetapi mangsa mengambil tindakan selamat menghubungi pihak sekolah yang memaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat.

Katanya kes ketiga pula berlaku pada Jumaat lepas, di mana seorang wanita berusia 43 tahun dari daerah Melaka Tengah dikehendaki membayar wang tebusan RM80,000 untuk membebaskan anak lelakinya tetapi beliau menghubungi pihak sekolah yang memaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat.

"Oleh itu, pihak polis menasihati ibu bapa yang menerima panggilan telefon sedemikian supaya bertenang dan memastikan kesahihan anak mereka diculik sebelum membuat apaapa pembayaran," katanya.

Sum berkata sepanjang tahun lepas, kadar jenayah komersial di negeri ini meningkat kepada 1,028 kes berbanding 766 kes pada 2007 dengan jumlah kerugian pada tahun lepas sebanyak RM496,515.55 berbanding RM463,578 pada tahun sebelumnya.

Katanya daripada jumlah berkenaan, kes penipuan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mencatatkan penurunan daripada 106 kes pada 2007 kepada 72 kes pada tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain