suria

Indeks jenayah Sabah 2008 meningkat 14.98 peratus

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,000 kes membabitkan jenayah kekerasan dilapor di Sabah sepanjang tahun lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata jumlah kes yang membabitkan rogol, bunuh dan samun itu meningkat sebanyak 22.1 peratus berbanding 1,919 kes pada tahun 2007.

Jenayah rogol yang mencatatkan 240 kes pada tahun lepas perlu diberi perhatian memandangan indeks kes jenayah itu meningkat 17.65 peratus berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini, Noor Rashid berkata kebanyakan kes rogol melibatkan mereka yang di bawah umur.

Majoriti laporan diterima dari Kota Kinabalu, Penampang, Beaufort, Sandakan dan Tawau, katanya. Beliau berkata kadar indeks jenayah di Sabah bagi tahun 2008 pada keseluruhannya meningkat sebanyak 14.98 peratus kepada 9,048 kes berbanding 7,869 kes pada tahun sebelumnya.

Noor Rashid berkata 18 peratus daripada kes yang dilaporkan itu ialah jenayah pecah rumah, samun dengan kawan (sembilan peratus) dan lain-lain kecurian (38.29 peratus).

Kawasan yang paling banyak merekodkan kes pada tahun lepas ialah Kota Kinabalu (3,604 kes) diikuti Tawau (1,271 kes), Penampang (835 kes), Sandakan (692 kes), Lahad Datu (504 kes) dan Labuan (323 kes), katanya. Sebanyak 37.62 peratus kes diselesaikan tahun lepas, katanya. BERNAMA

Artikel Lain