suria

Hati-hati memboikot, kata Ka Chuan

KUALA LUMPUR:Tindakan kerajaan menyokong usaha memboikot barangan buatan Amerika Syarikat adalah dialu-alukan tetapi perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pendekatan itu harus dilakukan dengan berhemah kerana jika tidak, boleh mendatangkan tindak balas negatif kepada negara.

"Bagi memboikot sesuatu produk dari luar, khususnya Amerika Syarikat, harus dilaksanakan dengan berhatihati kerana kita juga mempunyai produk yang dieksport keluar.

"Kita harus menunjukkan kemarahan dan ketidak puasan kita tapi dari segi memboikot sesuatu barangan kita perlu melihatnya satu persatu kerana langkah pemboikotan agak sukar dilakukan kerana banyak ahli perniagaan kita terlibat menjalankan perniagaan secara francais barangan Amerika Syarikat," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Wangsa Tegap Sdn Bhd dengan The RitzCarlton Hotel Company LLC di sini, hari ini.

Katanya, apa yang penting adalah perubahan sikap sendiri yang harus bersedia untuk membeli barangan buatan tempatan dan tidak bergantung kepada barangan luar.

"Kita harus sedar kebanyakan perniagaan barangan francais dari Amerika Syarikat itu sebenarnya diuruskan sepenuhnya oleh rakyat tempatan. Tindakan memboikot barangan tersebut secara langsung turut menjejaskan perniagaan mereka di samping memberi kesan kepada pendapatan majoriti rakyat tempatan yang bekerja dengannya," kata Ong yang merujuk kepada perniagaan barangan Starbucks dan Coca Cola.

Beliau juga menekankan perlunya pendekatan stategik dalam menjayakan kempen tersebut dengan memberi keutamaan kepada penggunaan barangan tempatan, terutama pada sektor makanan.

Menurutnya kebanyakan perniagaan makanan dan minuman yang diusahakan melalui francais dengan Amerika Syarikat mampu dihasilkan sendiri oleh rakyat tempatan dan Malaysia juga mempunyai bermacammacam produk seumpamanya yang dikeluarkan.

Sokongan terhadap produk buatan tempatan akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import dan cara itu dilihat lebih jelas untuk menunjukkan kemarahan rakyat ini.

"Kita tidak boleh boikot secara menyeluruh, kita perlu ada satu strategi, jika tidak kita akan dapat tindak balas yang tidak begitu menggalakkan tapi yang penting kita harus tunjuk hasrat yang kita tidak setuju dengan mereka," katanya.BERNAMA

Artikel Lain