suria

Jangan pakai topi keledar melebihi lima tahun

KLANG: Bimbang dengan peningkatan kadar kemalangan yang majoritinya berlaku ke atas penunggang dan pembonceng motosikal, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini mengingatkan golongan itu agar tidak menggunakan topi keledar yang melebihi lima tahun tempoh pemakaiannya.

Ini kerana, beliau berkata topi keledar yang digunakan melebihi tempoh itu dibimbangi tidak lagi selamat digunakan kerana kualitinya yang semakin merosot.

"Justeru saya nak ingatkan, kita kena prihatin tentang jenis topi keledar yang kita guna pakai. Ada pengguna yang pakai topi keledar lama dan biasanya jangka hayat topi keledar adalah selama lima tahun sahaja.

"Bahan topi keledar yang melebihi lima tahun mungkin sudah merosot, ini berasaskan kepada hasil kajian baik dari pihak Miros (Institut Keselamatan Jalan Raya) atau badan antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Ong turut mengingatkan penunggang dan pembonceng motosikal agar menitikberatkan jenis topi keledar yang dipakai terutama yang telah menepati piawaian yang ditetapkan Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Beliau berkata kementeriannya telah mendapatkan kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kastam Diraja Malaysia bagi mempastikan barangan yang dipasarkan khususnya topi keledar menepati spesifikasi piawaian yang telah ditetapkan.

"Kita nak pastikan bahawa apa yang dipasarkan adalah barangan yang menepati spesifikasi piawaian dan topi keledar pun ada spesifikasi piawaiannya," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain