suria

Taib mahu rundingan gabungan SPDP-PRS diteruskan

SIBU: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menasihatkan dua parti kaum Dayak komponen Barisan Nasional (BN) meneruskan rundingan gabungan mereka.

Beliau berkata Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) perlu meneruskan rundingan memandangkan gabungan adalah satu-satunya cara masyarakat Dayak dapat memperkukuh perpaduan politik mereka dan bergerak lebih pantas dalam mengejar kemajuan dan pembangunan.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya di pembukaan mesyuarat agung tahunan keenam SPDP di pusat sivik di sini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam oleh kerana Taib tidak dapat berlepas ke sini akibat cuaca buruk.

Taib berkata gabungan itu jika berjaya, akan juga membolehkan masyarakat itu mempunyai 17 anggota di dewan undangan negeri dan sembilan di parlimen.

"Secara peribadi, saya tidak saja menyokong tetapi juga akan melakukan sebaiknya membantu mereka jika mereka meminta berbuat demikian.

"Tetapi mereka terpaksa bergerak perlahan sedikit oleh kerana proses gabungan mengambil masa. Tidaklah mudah bagi parti-parti politik untuk bergabung tetapi usaha mesti dilakukan, jika tidak kita akan dapati diri kita berpecah," kata beliau.

Beliau berkata partinya, Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mengambil masa tiga tahun untuk menjayakan gabungannya yang pertama (antara Berjasa dan Negara) dan kemudian lapan tahun pula (antara Bumiputera dan Pesaka) seperti yang wujud sekarang.

"SPDP dan PRS mesti meneruskan usaha untuk bergabung sehingga mereka berjaya demi faedah anggota kedua-dua parti dan anggota masyarakat Dayak seluruhnya," kata beliau.

Mengenai hal lain, Taib berkata kepimpinan negeri akan terus mempertahankan semangat perkongsian kuasa yang bermakna.

"Kita tidak mahu mana-mana parti mempunyai majoriti secara sendiri dan kemudian bersikap angkuh dan merasa tidak memerlukan parti-parti lain oleh kerana ia sudah begitu kuat dengan bersendirian.

"Kita akan terus berkompromi, melakukan pengorbanan dan menyelesaikan masalah secara baik agar kita dapat terus bekerjasama dalam Barisan Nasional," katanya.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Sri William Mawan Ikom dalam ucapannya berkata, kebanyakan wakil-wakil rakyat Sarawak terpaksa berhempas pulas dengan sumber mereka yang terhad dalam usaha hendak memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata sementara beberapa orang daripada mereka kukuh kewangannya sebelum menyertai politik, ramai kini dari masa ke masa terjejas oleh kekangan kewangan.

Katanya, ini petanda kurang baik buat Barisan Nasional keseluruhannya.

"Paling teruk, kita tidak mahu melihat mereka berakhir dengan kesulitan kewangan yang serius," kata beliau.

Kira-kira 1,000 perwakilan dari 70 bahagian dari seluruh negeri dan kelab gabungannya dari Johor dan Labuan menghadiri mesyuarat sehari itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain