suria

Abdul Rahim menang YDP Angkasa

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Bakar hari ini memenangi jawatan Yang Dipertua (YDP) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa).

Abdul Rahim, 65, yang mendapat 1,249 undi menewaskan satu-satunya pencabar beliau, Datuk Yidris Abdullah yang mendapat 677.

Keputusan tersebut diumumkan Pengerusi Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-25, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman kira-kira pukul 5.30 petang tadi di Putrajaya.

Abdul Rahim adalah Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad dan pernah memegang jawatan Pengerusi Koperasi Serbaguna Pahang Berhad.

Pertandingan bagi jawatan YDP yang sebelum ini tiga penjuru menjadi satu lawan satu antara Abdul Rahim dan Yidris selepas penyandang jawatan itu, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid menarik diri daripada bertanding berikutan peletakan jawatannya sebagai YDP Angkasa Rabu lalu.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan YDP telah dimenangi oleh penyandangnya, Prof. Dr. Mohd Ali Baharum, 57, dengan mendapat 1,209 undi.

Dr. Mohd Ali mula menjawat jawatan tersebut sejak tahun 1993.

Beliau menewaskan pencabarnya bagi jawatan itu iaitu Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan (749 undi) dan Abd Latip Ismail (128 undi).

Tiga jawatan Naib YDP Angkasa pula telah dimenangi oleh Mustapa Kamal Maulut, 46 (1,055 undi), Datuk Abdul Fattah Abdullah, 49 (888 undi) dan Armi Zainuddin,60 (760 undi).

Seramai 20 calon bertanding merebut jawatan tersebut.

Sementara itu, daripada empat calon yang bertanding jawatan Pengerusi Persidangan Angkasa, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman,70, telah diumumkan sebagai pemenang dengan mendapat 1,537 undi.

Beliau menewaskan Datuk Dr. Abu Bakar Shaari, Datuk Mat Rejab Kassim dan Wan Ahmad Wan Hassan.

Seramau 2,151 perwakilan sah dari 1,340 koperasi ahli ANGKASA selruh negara hadir pada persidangan tersebut.

BERITA TERDAHULU

Dua bertanding, Yidris yakin menang

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Pertandingan merebut jawatan Yang Dipertua (YDP) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) hari ini menyaksikan saingan 'satu lawan satu' selepas peletakan jawatan Profesor Diraja Ungku Aziz Rabu lalu.

Perebutan jawatan nombor satu dalam badan itu memperlihatkan saingan antara bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia, Datuk Yidris Abdullah dan bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Rahim Bakar.

Kedua-dua calon berkenaan merupakan 'muka baru' dalam Angkasa dan tidak pernah memegang apa-apa jawatan sebelum ini.

Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-25 dijadual berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bagi Yidris, beliau menyimpan keyakinan yang tinggi untuk dipilih menerajui Angkasa sebagai sebuah badan yang mewakili pergerakan koperasi negara pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

"Keyakinan untuk menang mesti ada, bagaimanapun terpulang kepada perwakilan yang akan memilih siapakan calon yang layak untuk menerajui Angkasa.

"Tapi kalau diberikan peluang saya sudah mempunyai visi dan misi untuk membawa perubahan dalam Angkasa untuk kebaikan bersama," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, adalah menjadi satu kelebihan kepadanya sebagai bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia kerana matkamat untuk memantapkan Angkasa melalui kaedah meningkatkan tahap profesionalisme dan memberi lebih banyak peluang perniagaan sudah menjadi visianya.

"Sewaktu saya dipertanggungjawabkan menggubal Dasar Koperasi Negara dahulu, elemen profesionalisme dan peluang perniagaan merupakan matlamat jangka panjang yang ingin dicapai.

"Sekarang ini pula Angkasa mempunyai matlamat itu, jadi kalau saya diberi peluang untuk menerajui Angkasa, target untuk memcapai sasaran itu mungkin lebih mudah," katanya.

Jelasnya lagi, beliau mempunyai perancangan yang teratur untuk memberi nafas baru dalam pengurusan dan pentadbiran bagi menzahirkan idea dan perancangan yang lebih mantap agar Angkasa terus berdaya saing.

Angkasa yang ditubuhkan pada 1971, mewakili kira-kira 5,000 koperasi yang mempunyai keanggotaan kira-kira enam juta dan aset bernilai RM47 bilion.

Rabu lalu Ungku Aziz yang menerajui Angkasa sejak 37 tahun lalu meletakkan jawatannya sebagai YDP secara mengejut kerana kecewa bahawa siasatan berhubung penyelewengan wang dalam badan koperasi itu gagal diselesaikan.

Pendiriannya itu sekaligus menolak pencalonan sebagai YDP dalam pemilihan hari ini.

Disember lalu, Ungku Aziz meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempercepatkan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan kewangan dalam Angkasa membabitkan dua ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan (JKT) Angkasa demi melindungi aset lebih RM3.5 bilion milik koperasi itu.

Pergolakan dalam badan koperasi itu bermula apabila Ungku Aziz dipecat daripada jawatan YDP melalui undi tidak percaya oleh sembilan daripada 14 ahli lembaga pengarah Angkasa pada 24 Mac tahun lepas.

Walaubagaimanapun pemecatan itu bertahan selama 43 hari sebelum SKM memerintahkan Jawatankuasa Tertinggi Angkasa mengekalkan jawatan Ungku Aziz yang juga pengasas badan koperasi itu.

Usaha pemecatan itu dipercayai ada hubung kait dengan arahan Ungku Aziz supaya siasatan dijalankan terhadap dua ahli lembaga pengarah kanan badan itu yang didakwa melakukan penyelewengan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain