suria

Stor kedai LCCT terbakar, beberapa penerbangan terjejas

SEPANG: Satu kebakaran kecil berlaku di stor sebuah kedai di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini pagi ini, menyebabkan orang ramai diarahkan keluar dari terminal itu bagi tujuan keselamatan.

Kejadian itu menyebabkan lebih daripada 20 jadual penerbangan terjejas.

Pengurus Besar Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB,) Datuk Azmi Murad berkata, kebakaran kira-kira pukul 11 pagi itu bermula dengan kemalangan kecil dalam stor yang sedang diubahsuai di LCCT.

"Kebakaran berpunca daripada kerja-kerja pembesaran yang dilakukan di mana percikan api terjatuh atas bahan mudah bakar dalam stor kedai itu," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Syria Mohammad Naji Otri yang melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Azmi berkata, kebakaran itu menyebabkan asap tebal yang memerlukan semua penumpang dan kakitangan dikeluarkan dari terminal tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti sesak nafas.

"Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan, dan keadaan terkawal," katanya.

Azmi berkata, berikutan kebakaran itu proses mendaftar masuk penumpang terpaksa ditangguhkan buat seketika, dan hanya pada pukul 12.30 tengah hari operasi diteruskan seperti biasa.

"Bagaimanapun ada sejumlah penerbangan terpaksa ditangguh sementara," katanya.

Bernama difahamkan, sebanyak 25 daripada 200 penerbangan yang dijadualkan berlepas dan mendarat di LCCT mengalami kelewatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Supt Zahedi Ayob ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit.

"Difahamkan, satu litar pintas berlaku apabila seorang pekerja dikatakan tersalah memotong wayar hingga menyebabkan kebakaran itu berlaku. Nilai kerugian masih disiasat," katanya.

Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA dan sebuah lagi milik MAHB dikejarkan ke tempat kejadian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain