suria

JAWI keluar surat nikah baru elak pemalsuan

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengeluarkan surat perakuan nikah versi baru yang mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik bagi mengurangkan pemalsuan surat nikah oleh sindiket.

Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata surat nikah baru yang dikeluarkan awal tahun ini untuk mereka yang berkahwin di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, mempunyai beberapa ciri keselamatan pada logo, kualiti kertas, tulisan, cip serta nombor sirinya, yang sukar ditiru oleh pihak yang ingin memalsukannya.

Pada tahun lepas, lapan kes pengeluaran surat nikah palsu di kesan di Wilayah Persekutuan yang membabitkan sindiket dan keskes itu telah dibawa ke mahkamah, katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran surat nikah baru itu hari ini.

Pada majlis itu seramai 11 pasangan yang berkahwin pada 1 Jan lepas, menerima surat nikah baru itu.

Che Mat berkata proses mengeluarkan surat nikah baru hanya mengambil masa seminggu berbanding sebulan sebelum ini. Beliau berkata walaupun kos pengeluaran surat nikah versi baru agak tinggi, namun mereka yang berkahwin tidak dikenakan sebarang bayaran tambahan. Mereka yang memiliki kad perakuan nikah yang lama tidak perlu menukarkanya kepada surat nikah versi baru, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain